LAHAD DATU | 12 APRIL 2023
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Cawangan Latihan, Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Lahad Datu dengan kerjasama Unit Kejururawatan, Hospital Lahad Datu telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran 1444H sempena Nuzul al-Quran dan Majlis Iftar Ramadhan pada hari ini di Perkarangan Klinik Pakar, Hospital Lahad Datu.
Objektif penganjuran majlis ini antaranya adalah, memupuk kecintaan kepada Al-Quran dengan memahami sejarah penurun Al-Quran, membudayakan membaca Al-Quran dalam kehidupan seharian dan menghayati keistimewaan serta keberkatan bulan Ramadhan.
Majlis dimulakan dengan acara khatam Al-Quran yang diketuai oleh Ustaz Ahmad Ilmi Syafiean bin Boby Kusmanty, petugas Mesra Ibadah Hospital Lahad Datu. Seterusnya, program ini juga diisi dengan Tazkirah Ramadhan yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhd Dzul Helmi bin Mohd Noh, Guru Pendidikan Islam, SK Tanjong Paras Pulau Sakkal.
Program ini diserikan lagi dengan kehadiran pelajar Madrasah Mahabbah Taman Palm Height Lahad Datu sebagai tetamu yang diraikan. Pelajar-pelajar madrasah tersebut turut mempersembahkan lagu-lagu nasyid dan qasidah.
Majlis tersebut berakhir dengan penyampaian sijil dan cenderahati oleh Dr. Andi Md. Shamsureezal bin Dato Mohd. Sainal, Pengarah Hospital Lahad Datu bersama Ustaz Abdul Mutalib bin Haji Abdul Rahim, Pengarah Kampus Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Lahad Datu.