WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 21 Mac 2023 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi telah berjaya melaksanakan Kursus Penyediaan Kertas Siasatan Berkualiti pada 20 – 21 Mac 2023. Kursus yang berlangsung selama dua (2) hari ini memberi peluang kepada Pegawai Penguatkuasa Agama Perkhidmatan Hal Ehwal Islam khususnya untuk mendapatkan pengetahuan mengenai aspek penting dalam tatacara penyediaan kertas siasatan, meningkatkan kemahiran mengenai teknik dan kaedah penyediaan kertas siasatan yang betul dan berkesan serta membina sikap profesionalisme dan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan pengendalian siasatan syariah yang lengkap, rapi dan adil.

Seramai 34 orang peserta Skim Perkhidmatan Hal Ehwal Islam daripada pelbagai negeri telah menghadiri kursus ini. Peserta diberi peluang untuk membentangkan kandungan kertas siasatan melalui aktiviti latihan dalam kumpulan. Kursus ini turut dihadiri oleh Puan Nafizah binti Md Fauzi, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelarasan, Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah, JAKIM dan YBrs. Dr. Haji Yusaini bin Yusoff, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Selangor.

Penceramah yang dijemput dalam kursus ini ialah YBrs. Tuan Atras bin Mohamad Zin, Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Selangor. Pengalaman beliau dalam bidang pendakwaan sangat membantu peserta untuk menghasilkan kertas siasatan yang berkualiti. Semoga kursus yang dianjurkan ini dapat membantu meningkatkan kompetensi Pegawai Penguatkuasa Agama khususnya dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang.