WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi - 16 Mac 2023 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), JAKIM melalui Program Teras di bawah Seksyen Akidah dan Pemikiran Islam telah berjaya mengadakan Kursus Perbandingan Agama. Kursus ini telah berlangsung selama tiga hari bermula 14 Mac 2023 hingga 16 Mac 2023. Objektif kursus ini adalah untuk menjelaskan ilmu perbandingan agama dan kepentingannya dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

Kursus ini juga bagi memupuk minat berdakwah terhadap masyarakat non-muslim dan pada masa yang sama peka menjaga keharmonian hubungan antara agama.

Seramai 21 orang peserta telah menghadiri kursus yang terdiri daripada Pembantu dan Penolong Pegawai Hal-Ehwal Islam lantikan JAKIM yang ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontigen (IPK) di seluruh negara. Para peserta memberi respon dan komitmen yang sangat positif semasa sesi latihan berjalan.

Dua orang penceramah telah diundang bagi menyampaikan ceramah dalam kursus ini iaitu Tuan Haji Muhammad Fitri Abdullah yang telah membentangkan beberapa tajuk antaranya Dakwah dan Cabaran Dalam Menangani Gerakan Missionary di Malaysia. Manakala Dr. Alwani Ghazali daripada Universiti Malaya pula telah berkongsi ilmu antaranya mengenai Kemahiran Dialog dan Toleransi Antara Agama Di Malaysia.  Semua penceramah adalah pakar dalam bidang berkaitan.

Dengan terlaksananya kursus ini, diharap dapat memberikan manfaat yang besar dalam meningkatkan pengetahuan tentang ilmu perbandingan agama dan pendekatan dakwah yang harmoni di dalam masyarakat majmuk di negara kita.