KURSUS ROAD TO BARZAKH
LAHAD DATU, 9 Mac – ILIM Kampus Lahad Datu melalui Unit Kefahaman dan Kemahiran, buat julung kalinya telah menganjurkan Kursus Road To Barzakh pada 7 hingga 9 Mac 2023. Program tiga hari ini bermula berlangsung di Bilik Kuliah Ibnu Khaldun, ILIM Kampus Lahad Datu, JAKIM. Ia disertai 37 orang peserta yang terdiri daripada Penjawat Awam dan Masyarakat Awam daerah Tawau, Sempona, Kunak, Lahad Datu, Tungku, Kinabatangan, Beluran, Telupid dan Sandakan.
Program ini dikendalikan oleh Ustaz Sabri bin Mat Daud, Penyelia Agama Felda. Ustaz Mohammad Fazli bin Tikson, Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Tungku. Ustaz Yunus bin Abu, Imam JHEAINS Lahad Datu dan Ustazah Hamidah binti Ab Razak, Penceramah Umum Bertauliah. Penceramah kali ini berpengalaman menyampaikan ceramah dan praktikal kepada para peserta. Sepanjang kursus itu, penceramah berkongsi ilmu dan pengalaman secara teori dan praktikal mengenai cara pengurusan jenazah meliputi aspek mandi, mengkafankan, solat dan pengebumian.
Pengarah Kampus, Ustaz Abdul Mutalib bin Abdul Rahim berkata, pengurusan jenazah adalah sesuatu yang sangat mudah dan bukanlah sesuatu yang rumit seperti sesetengah masyarakat fikirkan. “Kita mahu terapkan masyarakat supaya mengikuti syariat agama dalam hal pengurusan jenazah dan jangan mengamalkan sesuatu yang boleh memesongkan akidah umat islam,” katanya.
“Kursus ini diadakan bertujuan untuk melatih dan memberi kefahaman secara terperinci kepada umat Islam tentang cara pengurusan jenazah yang betul jika berlaku kematian. Selain itu para peserta yang menyertai kursus ini berpeluang menambah ilmu pengetahuan dengan mengajukan soalan-soalan berkaitan pengurusan jenazah, kematian dan lain-lain hal yang berkaitan” katanya lagi.
Urusan berkaitan kematian khususnya pengurusan jenazah yang bermula dari proses memandikan, mengkafankan sehingga pengebumian perlulah diuruskan dengan ilmu yang cukup supaya ianya dapat dijalankan mengikut syariat Islam dan tatacara penuh adab sebagai penghormatan terakhir kepada si mati. Pengurusan Jenazah dalam Islam merupakan tuntutan Fardhu Kifayah.
Dalam erti kata lain, sesuatu kelompok masyarakat itu perlu melunaskan tanggungjawab menguruskan jenazah jika berlaku kematian di dalam kelompok tersebut. Jika tidak seluruh kelompok masyarakat itu akan menanggung dosa.
Rata-rata peserta yang ditemui berkata pengisian secara teori dan amali seperti proses memandikan, mengkafankan sehingga solat jenazah telah difahami dengan jelas.