Besut,│ 7 Ogos - Kluster Pembangunan Insan, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Besut telah mengadakan Program Keluarga Sejiwa Pos Hendrop Gua Musang Kelantan. Program ini telah berlangsung selama dua (2) hari bermula 06 hingga 07 Oktober 2022. Program ini merupakan program pertama ILIM Kampus Besut bersama Komuniti Masyarakat Orang Asli di Pos Hendrop Gua Musang. Antara objektif program ini diadakan ialah untuk menyantuni golongan asnaf muallaf Orang Asli dan menyebar luaskan Dakwah Bil Hal bersama-sama masyarakat setempat.
Program ini merupakan program kerjasama ILIM Kampus Besut dengan Bahagian Dakwah (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Seramai lebih kurang 500 orang peserta terdiri daripada penduduk Pos Hendrop telah menghadiri program tersebut, termasuk urus setia dari ILIM Kampus Besut dan Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA).
Pelbagai acara dan hadiah disediakan sepanjang program dijalankan. Antaranya sukaneka, pertandingan sepak takraw, pertandingan azan, bacaan dalam solat, ceramah kekeluargaan, cabutan bertuah, Bicara Pemantapan Solat bersama Jemaah masjid, ramah mesra bersama Tok Batin dan penduduk Pos Hendrop, selawat Maulidul Rasul bersama-sama penduduk dan lain-lain. Kebanyakan penduduk memberi respon yang sangat positif dan penyertaan yang sangat memberangsangkan semasa program berlangsung.
Satu sesi ceramah berkaitan kekeluargaan turut diadakan yang mana telah disampaikan oleh peguam yang mahir dan pakar dalam bidang berkaitan iaitu Puan Norshamsiah binti Awang Lah (Peguam Syarie/Jentera Daie Gua Musang/Perunding Keluarga).
Program ini telah disempurnakan oleh Puan Shukreyah binti Zawawi, Pengarah ILIM Kampus Besut dan ucapan aluan disampaikan oleh Tok Batin, Ustaz Arif bin Rami. ILIM juga menyerahkan sebanyak 216 hamper makanan daripada sumbangan Tabung Musaadah JAKIM kepada golongan asnaf semasa program tersebut. Para peserta juga pulang dengan pelbagai buah tangan sumbangan daripada rakan-rakan agensi seperti KASTAM, KPDNHEP dan juga KFC.
Semoga dengan terlaksananya program ini, diharap dapat memberikan manfaat yang besar dalam memantapkan kemahiran sebagai jurulatih dan pendakwah serta menjiwai dan menanam sifat Ihsan terhadap masyarakat keluarga orang asal. Sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia mengasihi sesama keluarga dan insan, melalui program ini, ia sekali gus dapat menjalin hubungan antara penjawat awam dengan masyarakat khususnya JAKIM.