Bangi │18 Oktober- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan Unit Integriti JAKIM telah mengadakan Webinar Kelestarian Integriti secara dalam talian pada 18 Oktober 2022. Webinar ini telah dihadiri oleh seramai 130 orang peserta daripada Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) JAKIM, Kader JAKIM, MAIN, JAIN, Jabatan Mufti Negeri, Agensi Agama di bawah YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Islam) serta penjawat awam pelbagai skim di kementerian/jabatan/agensi.
Webinar ini telah menampilkan dua (2) orang penceramah yang diundang iaitu YDH DCP Dato’ Hj. Ghazalli bin Hj. Daud, Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan tajuk “Menelusuri Integriti dan Kepimpinan Khulafa Ar-Rasydin” dan YBrs. Tuan Hafizdi bin Ceh Md. Khir, Ketua Seksyen Pengurusan Integriti, Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan tajuk “Pemantapan Integriti: Cabaran dan Strategi Ke Arah Kecemerlangan Organisasi”.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Zaizurina binti Mansor, Timbalan Pengarah Cawangan Pembangunan Profesionalisme, ILIM yang mewakili YBhg. Ketua Pengarah JAKIM. Dalam ucapan penutupan, beliau menyatakan bahawa nilai integriti dan jatidiri seseorang penjawat awam sangatlah penting dalam usaha memastikan segala halatuju visi dan misi kerajaan dapat dicapai dan dilaksanakan dengan jayanya. Selain itu, beliau juga mengingatkan bahawa isu keruntuhan integriti penjawat awam bukan lagi isu individu, atau isu dalaman organisasi, tetapi merupakan isu kita bersama yang perlu diberikan perhatian yang mana jika integriti tidak lagi di pandang sebagai salah satu pegangan dalam kita menjalankan tugas, ia boleh meruntuhkan institusi perkhidmatan yang di bina selama ini lebih-lebih lagi kita sebagai perkhidmatan hal ehwal Islam.
Semoga dengan penganjuran program seperti ini, usaha JAKIM untuk melaksanakan misi, visi serta objektif yang ditetapkan dapat dilaksanakan dengan jayanya seterusnya memperkukuhkan pembangunan sahsiah dan integriti sebagai tonggak maruah diri dan budaya organisasi ke arah kecemerlangan pengurusan hal ehwal Islam serta mampu memberi sumbangan besar dalam memantapkan penyampaian perkhidmatan awam di negara ini.