Bangi │ 07 Oktober - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah mengadakan Program Transformasi Budaya Kerja JAKIM pada 05 hingga 07 Oktober 2022 bertempat di Bilik Kuliah Ibnu Khaldun, Blok Akademik A, ILIM. Program ini dihadiri oleh seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai JAKIM Gred 44 - 48 di ibu pejabat dan PTJ JAKIM.
Program yang dikendalikan oleh Twininks Resources selaku pihak konsultan antara lain bertujuan untuk memantapkan mental, jasmani dan rohani ke arah pengukuhan sahsiah dan jati diri bagi memupuk semangat kecintaan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi dalam memperkukuhkan profesionalisme dan sistem penyampaian terbaik.
Dalam ucapan aluan oleh YBrs. Puan Adawiah binti Lias, Timbalan Pengarah Cawangan Pembangunan Kompetensi ILIM, beliau mengajak agar semua peserta memaknakan hasrat dan harapan Pengurusan Tertinggi JAKIM supaya setiap pegawai JAKIM melihat perubahan yang berlaku dalam pucuk pimpinan dari persepektif yang lebih luas bagi mencapai matlamat dan inspirasi organisasi.
Penutupan program disempurnakan oleh YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM. Beliau menaruh sepenuh kepercayaan kepada barisan kepimpinan pertengahan JAKIM untuk bergerak bersama sehati sejiwa dan menjadikan Sejiwa itu sebagai tools atau alat untuk mencapai objektif dalam menggerakkan matlamat bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan awam di negara ini. Warga JAKIM secara keseluruhannya perlu berkeupayaan untuk “fly high” dan “think big”.
Semoga dengan penganjuran program-program seumpama ini, warga JAKIM secara berterusan diharap berupaya menangani cabaran dan permasalahan yang berlaku dalam organisasi, seterusnya memperkukuhkan kecemerlangan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.