Bangi │6 Oktober - Program ILIM EXECUTIVE TALK ini merupakan program berkala ILIM yang membincangkan isu-isu berkaitan sembilan (9) bidang teras Perkhidmatan Hal Ehwal Islam yang antara lain ialah berkaitan pengurusan siyasah syariyyah, dakwah dan pembangunan insan. Dengan topik “Modal Insan Rabbani Teras Keluarga Malaysia telah dikongsikan bersama penceramah jemputan, Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Program kali ini merupakan edisi khas kerana ia dirasmikan oleh YB Senator Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Di samping itu ia juga adalah program yang mempunyai objektif khas menyokong gagasan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera mengandungi nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran agar ia dapat direalisasikan dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Program ini terbuka kepada semua pihak tidak terhad kepada agensi dan golongan eksekutif dalam perkhidmatan Hal Ehwal Islam sahaja.
Modal insan rabbani yang dibina dengan akidah yang kukuh, kepatuhan kepada syariat, berakhlak dengan akhlak Islam adalah golongan terbaik yang mampu merealisasikan gagasan ini. Hubungan yang erat dan kukuh dengan Allah SWT dan kecintaan kepada syariat Nabi SAW akan menjadikan seorang muslim itu celupan atau acuan rabbani.
Program pembudayaan gaya hidup sihat melalui Sukan Keluarga ILIM (SUKIM) yang turut dilancarkan pada hari ini bersempena Hari Sukan Negara pada Bulan Oktober 2022 adalah sangat bertepatan bagi menimbulkan kesedaran dan membudayakan semangat kesukanan bagi menjana kesihatan fizikal dan mental.
Bahkan memiliki tubuh badan yang sihat adalah satu sunnah dan tuntutan di dalam agama. Beriadah atau bersukan amat penting di dalam kehidupan kita agar menjadi seorang mukmin yang sihat dan kuat supaya dapat melaksanakan ibadah dan ketaatan kepada Allah SWT dengan sebaik-baiknya.
YB Menteri menyeru seluruh Keluarga Malaysia khasnya umat Islam agar berusaha untuk mencapai dan mengekalkan kesejahteraan agar setiap insan dapat mengecapi kehidupan yang aman dan makmur. Asas utama untuk mencapai kesejahteraan adalah dengan mengukuhkan akidah dan pegangan terhadap syariat Islam selaras dengan konsep modal insan rabbani yang dibincangkan di program ini.
Turut diadakan cabutan bertuah kepada peserta yang hadir, hadiah sumbangan dari pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM). Terima kasih kepada pihak YaPIEM.
Sesungguhnya, aspirasi Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera akan dapat membantu meningkatkan kemakmuran dan keharmonian masyarakat, memperkukuhkan tindakan kerajaan dalam mendepani sebarang cabaran serta memastikan kestabilan sosial, ekonomi dan politik untuk kepentingan bersama.