WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

TAWAU | 4 Oktober - Rehlah Dakwah boleh ditakrifkan sebagai melawat dan mengembara untuk menyampaikan risalah dakwah. Semasa mengembara, para pelawat atau pengembara hendaklah menyelitkan niat dan usaha menyampaikan dakwah islamiyyah kepada sesiapa sahaja yang mereka temui.

Selain dapat melihat kebesaran dan kekuasaan Allah SWT, serta keindahan alam ciptaan Allah SWT, pelawat atau pengembara juga dapat bertemu masyarakat sekeliling sekaligus dapat mengeratkan hubungan silaturrahim. Melalui hubungan yang dijalin, secara tidak langsung dakwah telah sampai kepada masyarakat awam.

Program Rehlah Dakwah (REDAH) Siri 2, Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Lahad Datu yang berakhir semalam telah menutup tirainya. Program selama tiga hari iaitu bermula pada 1 Oktober sehingga 3 Oktober 2022 itu telah dilaksanakan dengan jayanya di tiga tempat terpilih di daerah Tawau.

Diantara tempat yang terlibat dalam program REDAH pada kali ini adalah bertempat di Dewan Ixora MRSM Tun Mustapha Tawau, Masjid Babus Saadah Muhibbahraya Tawau dan Masjid Hidayatul Iman Merotai Besar, Tawau. Pengisian sepanjang program ini berjalan termasuklah Ceramah Akidah, Bicara Fardhu Ain, Kem Motivasi Pelajar, Halaqah Fardhu Kifayah, Kursus Pengurusan Jenazah dan Ziarah Silaturrahim.

Objektif REDAH ini dilaksanakan adalah untuk menyampaikan dakwah Islamiyyah serta menambah kemahiran dan kefahaman Islam kepada masyarakat awam selain dapat mengeratkan hubungan silaturrahim diantara kakitangan Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Lahad Datu dengan penduduk setempat.

Selain daripada itu, program ini juga adalah bertujuan untuk memperkenalkan Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Lahad Datu sebagai institusi latihan yang berperanan dalam menganjurkan program-program latihan berteraskan Islam.

Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Encik Jalani bin Chachu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.72 Merotai yang diadakan di Masjid Nurul Hidayah, Merotai Besa.