WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 23 September - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Unit Integriti JAKIM telah mengadakan Kursus Smart Integriti pada 21-23 September 2022 bertempat di Bilik Kuliah, Ibnu Khaldun, Blok Akademik A.  Kursus ini telah dihadiri oleh seramai 22 orang peserta daripada Kumpulan Pengurusan & Profesionalisme, JAKIM yang berkhidmat di pelbagai Bahagian dan Agensi.

Kursus ini merupakan salah satu daripada kursus Kompetensi Teras Generik yang diwajibkan kepada semua warga JAKIM berdasarkan Pelan Latihan @ Training Road Map JAKIM 2020-2025 dan Pelan Tindakan Strategik Pembangunan Modal Insan JAKIM 2021-2025.

Kursus Smart Integriti yang dianjurkan ini mengandungi sembilan (9) slot utama iaitu Slot Ta’aruf, Pembentukan Imej Kumpulan, Ceramah, Anjung Nurani, Qudwah Integriti, Lead Integrity, Explorace Integrity, Qiamullail serta Azam dan Tekad. Keseluruhan slot kursus ialah memfokuskan nilai-nilai murni yang bersifat universal dalam membentuk integriti dalam kalangan penjawat awam ke arah mewujudkan good governance (urustadbir yang baik).

Majlis penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Puan Khairani binti Husin, Ketua Penolong Pengarah Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam, ILIM. Dalam ucapan penutupan, beliau mengharapkan agar semua Pegawai JAKIM dapat memperkukuh sahsiah dan nilai-nilai integriti berteraskan iman dan jati diri yang unggul kerana ia merupakan benteng yang ampuh untuk mengelakkan penjawat awam dari terjebak dalam pelbagai bentuk penyelewengan, salah laku dan penyalahgunaan kuasa.

Semoga dengan penganjuran program seperti ini, usaha JAKIM untuk melaksanakan misi, visi serta objektif yang ditetapkan dapat dilaksanakan dengan jayanya seterusnya memperkukuhkan pembangunan sahsiah dan integriti sebagai tonggak maruah diri dan budaya organisasi ke arah kecemerlangan pengurusan hal ehwal Islam serta mampu memberi sumbangan besar dalam memantapkan penyampaian perkhidmatan awam di negara ini.