WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 22 September – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi, Selangor melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI) telah menganjurkan  Diskusi Perbandingan Agama Tahun 2022 di Auditorium As-Syafie, Blok Akademik A, ILIM. Program yang dihadiri seramai 60 orang ini kebanyakannya melibatkan pelbagai Jabatan, Agensi dan Kementerian yang ditawarkan secara terbuka untuk                           pegawai-pegawai perkhidmatan awam pelbagai skim dan gred.

Diskusi Perbandingan Agama ini telah dimulakan dengan ucapan aluan dan majlis perasmian program yang disempurnakan oleh YBhg. Tuan Haji Aminudin bin Mohamad, Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). Dalam ucapan aluan beliau mengatakan bahawa, “Diskusi dan dialog antara agama adalah saluran terbaik bagi memupuk persefahaman dan kerjasama yang baik antara penganut-penganut agama di Malaysia”.

Beliau juga berkata, “Kepelbagaian kaum dan bangsa tidak menjadi isu di sisi Islam. Malah kepelbagaian ini merupakan fitrah kejadian ke atas manusia yang dan ia merupakan satu kelebihan dengan hikmahnya saling kenal-mengenal dan mempelajari kelebihan antara satu sama lain”.

Program yang berlangsung selama setengah hari ini menjadi wasilah untuk memberi kefahaman yang jelas dalam bidang akidah dan aliran pemikiran yang merupakan satu bidang teras yang terdapat dalam sembilan (9) bidang teras perkhidmatan hal ehwal Islam.

Objektif penganjuran program adalah untuk menjelaskan kepada para peserta mengenai konsep ilmu perbandingan agama dan kepentingannya dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia serta meningkatkan kemahiran insaniah dalam hubungan antara agama melalui diskusi dan interaksi.

Perkongsian diskusi pada kali ini telah disampaikan oleh Tuan Haji Muhammad Fitri bin Abdullah yang merupakan Naib Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM). Terdapat dua (2) slot yang disampaikan iaitu ‘Dialog Antara Agama, Keperluan dan Cabarannya di Malaysia’ dan ‘Dakwah dan Cabarannya Dalam Menangani Gerakan Missionary di Malaysia.

Pengalaman dan kepakaran beliau dalam diskusi yang santai tetapi padat dengan ilmu yang disampaikan diharap dapat memberikan kefahaman yang jelas berkaitan tajuk yang dibahaskan dalam program ini. Jutaan terima kasih kepada semua peserta yang memberikan komitmen sekaligus menjayakan program Diskusi Perbandingan Agama Bagi Tahun 2022 pada kali ini.