WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 25 Ogos – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi, Selangor melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI) telah mengadakan Kursus Perbandingan Agama selama tiga (3) hari iaitu bermula tarikh 23 hingga 25 Ogos 2022. Kursus kali ini dilaksanakan di Bilik Kuliah al-Bukhari, Aras 2, Blok Akademik B, ILIM.

Seramai 34 orang peserta telah hadir mengikuti kursus ini yang terdiri daripada Penolong Pegawai dan Pembantu Hal Ehwal Islam dari pelbagai kontinjen negeri antaranya Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Pusat Latihan Polis (PULAPOL) serta Briged Tengah.

Tujuan kursus ini dijalankan adalah untuk menjelaskan kepada peserta tentang konsep ilmu perbandingan agama dan kepentingannya dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia. Selain itu, kursus ini juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman berhubung kajian epistemologi dan kosmologi setiap agama di Malaysia sekaligus meningkatkan kemahiran insaniah dalam hubungan antara agama melalui program ikut serta aktiviti keagamaan.

Sebanyak lapan (8) perkongsian slot telah dibincangkan sepanjang kursus antaranya ialah pengenalan ilmu perbandingan agama, perbandingan Islam dan agama ahli kitab dan bukan ahli kitab. Selain itu, slot dialog antara agama, keperluan dan cabarannya di Malaysia telah melengkapkan lagi kursus ini untuk pemahaman yang lebih mendalam kepada para peserta. Tambahan lagi, slot berkenaan dakwah dan cabarannya dalam menangani Gerakan Missionary turut dikongsikan serta perbincangan isu-isu semasa akidah di Malaysia bersama para peserta.

Kursus yang berlangsung selama tiga (3) hari ini telah mendapat kerjasama daripada tiga orang penceramah pakar dan berpengalaman iaitu Dr. Yusri bin Mohamad Ramli, Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ustaz Haji Muhammad Fitri bin Abdullah, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Negeri Selangor, dan Ustaz Eizzul A’la bin Bajuri @ Mohamad, Pegawai Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Mereka telah berkongsi banyak ilmu berkaitan perbandingan agama dan isu semasa akidah di Malaysia.

Semoga kursus ini berjaya memberi penjelasan dan pemahaman kepada peserta mengenai isu akidah dan perbandingan agama di samping dapat meningkatkan penguasaan dan kemahiran ilmu perbandingan agama dalam kalangan Pegawai Hal Ehwal Islam, JAKIM.