Lahad Datu, 26 Jun - Unit Kefahaman dan Kemahiran telah menganjurkan Kursus Falak Syari’e bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selama tiga (3) hari bermula pada 21 hingga 23 Jun 2022 yang lalu. Kursus ini telah menarik minat seramai 36 orang peserta yang terdiri daripada imam-imam JHEAINS, penjawat awam dan masyarakat awam di sekitar daerah Tawau, Kunak, Semporna, Lahad Datu, Tungku, Kinabatangan, Beluran, Telupid, Tongod dan Sandakan.
Melalui kursus ini, para peserta telah diberi pendedahan dan pengetahuan berkaitan bidang-bidang dalam pengurusan falak syarie di Malaysia, peserta juga membuat latih amal cerapan di Surau Ibnu Abbas dan proses semakan arah kiblat di bilik-bilik penginapan yang terdapat di kampus ini bagi memberikan pengalaman yang lebih praktikal kepada para peserta. Di antara tajuk yang disampaikan melalui kursus ini adalah Pengenalan Falak dan Kosmologi Dalam Fiqh, Penentuan Arah Kiblat, Kaedah Penentuan Arah Kiblat, Pengenalan dan Cara Penggunaan Alat, Kaedah Membaca Peta dan Mendapatkan Koordinat Serta Bearing, Proses Penandaan Arah Kiblat dan Semakan Arah Kiblat Surau Ibnu Abbas.
Majlis penyampaian sijil dihadiri dan disampaikan oleh Ustaz Abdul Mutalib bin Abdul Rahim selaku Pengarah Kampus, ILIM Kampus Lahad Datu, JAKIM dan diakhiri dengan sesi bergambar.