BANGI, 27 Ogos 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Seminar Manhaj Imam as-Syafi‘i 2026 bertemakan “Merentas Zaman, Memacu Kesejahteraan” bertempat di Dewan Datuk Mohd Shahir, ILIM Kampus Utama Bangi.
Seminar ini mengetengahkan pemikiran, manhaj dan ketokohan Imam al-Syafi‘i serta relevansinya dalam pembinaan masyarakat dan kepimpinan masa kini.
Program ini terbuka kepada penjawat awam pelbagai skim perkhidmatan sebagai platform untuk memperkukuh kefahaman terhadap manhaj fiqh Imam as-Syafi‘i serta menghayati warisan keilmuan beliau dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab perkhidmatan awam.
Dua sesi utama telah disampaikan oleh Dr. Muhammad Adib bin Samsudin, Pensyarah, Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membentangkan tajuk “Ketokohan Imam as-Syafi‘i dalam Membina Kepimpinan Berjiwa Ihsan”.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Mohd Hapiz bin Mahaiyadin (A.M.K), Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui tajuk “Kelestarian Fiqh Imam as-Syafi‘i: Warisan Ilmu Membina Masyarakat Lestari”.
Penganjuran seminar ini menjadi wadah penting dalam memperkukuh kefahaman terhadap warisan keilmuan Imam as-Syafi‘i, di samping mengangkat nilai ilmu, kepimpinan dan akhlak sebagai asas dalam mendepani cabaran semasa.
Semoga seminar ini terus menyemarakkan penghayatan terhadap khazanah ilmu Islam serta menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang berilmu, berintegriti dan sejahtera.





