ILIM Kampus Utama Bangi – 19 Ogos 2026, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah berjaya menganjurkan Seminar Perundangan Syariah: “Couple Swap Meruntuh Pegangan Agama dan Institusi Keluarga” sebagai platform pencerahan ilmu dan kesedaran masyarakat terhadap fenomena sosial yang bercanggah dengan nilai agama serta mengancam institusi kekeluargaan.
Seminar ini bertujuan meningkatkan kefahaman peserta mengenai hukum, implikasi syariah, kesan sosial dan psikologi serta aspek perundangan berkaitan fenomena couple swap, di samping memperkukuh usaha pencegahan, penguatkuasaan, pendidikan dan pemulihan.
Sesi ceramah telah disampaikan oleh Dr. Mohamad Razif bin Mohamad Fuad, Pensyarah Kanan, Jabatan Usuludin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Seterusnya, sesi forum bertajuk “Couple Swap: Normalisasi Seksual – Intervensi dan Pemulihan Menurut Islam” menampilkan Tuan Ali Najmi bin Mohd Noordin, Pendakwa Syarie Kanan, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dan Tuan Haji Hushim bin Haji Salleh, pakar kaunseling keluarga Islam serta Fellow PERKAMA International. Forum dikendalikan oleh Tuan Khairuddin bin Abdullah selaku moderator.
Seminar mendapat sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan yang tinggi serta komitmen peserta sepanjang program. Perbincangan yang diketengahkan memberi kefahaman bahawa isu ini perlu ditangani secara menyeluruh melalui pendekatan agama, pendidikan, perundangan, penguatkuasaan, intervensi dan pemulihan.
Kejayaan seminar turut didukung oleh kerjasama dan komitmen seluruh warga ILIM dalam memastikan program berlangsung dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.
ILIM berharap ilmu dan kesedaran yang diperoleh dapat diterjemahkan dalam kehidupan serta membantu peserta menjadi agen penyebar kesedaran dalam memelihara maruah diri, batas agama dan kesucian institusi keluarga. Seminar ini diharapkan menjadi titik tolak kepada usaha berterusan dalam membina masyarakat yang berilmu, berakhlak, berdaya tahan dan berteraskan nilai Islam.





