WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, Selangor – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Kursus Eksekutif Imam bermula 11 hingga 14 Ogos 2026 untuk membangunkan imam yang kompeten melalui pengukuhan pengetahuan, pengaplikasian kemahiran serta pembudayaan sikap profesional, berintegriti dan berjiwa pemimpin dalam memperkasa pengurusan masjid, dakwah dan pembangunan komuniti.
 
Peserta yang mengikuti kursus ini terdiri dari kalangan para Imam dan penjawat awam daripada pelbagai gred daripada JAKIM, MAIN, JAIN dan Kementerian termasuk pelajar institusi pengajian tinggi di Malaysia.
 
Kursus dilaksanakan melalui pendekatan ceramah interaktif, perbincangan, kajian kes, demonstrasi, talaqqi dan musyafahah, simulasi, latihan amali serta pembentangan yang disesuaikan dengan kandungan setiap slot. Slot etika, fiqh, integriti dan kepimpinan disampaikan melalui ceramah interaktif dan perbincangan oleh Ustaz Mohd Shahril Abdul Samat, Ustaz Azhar Tuarno dan Ustaz Muhamad Tahir Kamis. Manakala slot qiraat, tarannum dan falak menggunakan demonstrasi serta latihan amali disampaikan oleh Ustaz Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dan Ustaz Abdul Wafi Abdul Razak. Slot komunikasi, kaunseling, khutbah dan pengurusan krisis dilaksanakan melalui kajian kes, simulasi dan role play yang dipimpin oleh Prof.Madya Dr Md Noor Saper dan Prof. Madya Dr. Mohd Nor Mamat.
 
Kursus diakhiri dengan simulasi integrasi “The Ultimate Imam Showcase” bagi menilai keupayaan peserta mengaplikasikan ilmu dan kemahiran dalam situasi sebenar.
 
Peserta menunjukkan penglibatan yang aktif dan responsif sepanjang kursus melalui sesi soal jawab, perbincangan kumpulan, perkongsian pengalaman, latihan amali, simulasi serta pembentangan. Penglibatan ini membolehkan peserta menghubungkan kandungan kursus dengan realiti tugas imam, pengurusan masjid dan keperluan komuniti kariah.
 
Kursus ini diharapkan dapat melahirkan imam yang lebih profesional, berintegriti, berkeyakinan dan kompeten dalam memimpin ibadah, mengurus masjid, menyantuni komuniti serta menangani cabaran semasa secara berhikmah dan berteraskan syariah seterusnya memperkukuh masjid sebagai pusat pembangunan dan kesejahteraan ummah.