BANGI, 14 Ogos 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah mengadakan Perhimpunan Bulanan ILIM Bil. 6/2026 & Majlis Semarak Bulan Kebangsaan 2026 di Dewan Datuk Mohd Shahir, ILIM Kampus Utama Bangi. Majlis yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari telah disempurnakan oleh Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM.
Bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2026, Program Semarak Bulan Kebangsaan ILIM 2026 dilaksanakan bagi menyemai semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan dan meningkatkan kebersamaan dalam kalangan warga ILIM. Program ini membawa tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, Memperkasa Modal Insan, Memperkukuh Negara.”
Antara pengisian utama ialah Pentas Merdeka yang menampilkan persembahan daripada setiap Cawangan, Program dan Pusat ILIM Kampus Utama Bangi. Setiap kumpulan diberi tempoh lima minit untuk mempersembahkan kreativiti masing-masing dalam suasana penuh semangat kebangsaan.
Program turut dimeriahkan dengan Peraduan DIY Arca Patriotik, Pertandingan Video Puisi Patriotik, Pertandingan Merdeka Penalty Shootout Lelaki, Pertandingan Merdeka Netball Shootout Wanita serta Tayangan Filem Patriotik.
Penganjuran program ini menjadi platform untuk warga ILIM menzahirkan kecintaan kepada negara melalui penyertaan aktif, kreativiti dan semangat kerja berpasukan, selaras dengan aspirasi membentuk warga perkhidmatan awam yang berjiwa patriotik dan berintegriti.




