BANGI, 23 Julai 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi telah menganjurkan Seminar Pengurusan Harta 2026: "Harta Tak Beku, Waris Bersatu" bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengurusan harta pusaka secara terancang dan patuh syariah.
Seminar ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kefahaman masyarakat tentang kepentingan pengurusan harta pusaka semasa hidup, di samping memberi penjelasan mengenai instrumen pengurusan harta pusaka yang diamalkan di Malaysia seperti wasiat, faraid dan hibah. Program ini juga bertujuan memupuk kesedaran masyarakat agar menguasai ilmu pusaka sebagai persediaan dalam merancang legasi keluarga serta mengelakkan berlakunya pertikaian dan pembekuan harta selepas kematian.
Sepanjang seminar, para peserta didedahkan dengan perkongsian daripada panel-panel berpengalaman dalam bidang perundangan, syariah dan perancangan harta yang mengupas isu-isu semasa berkaitan pengurusan harta pusaka umat Islam. Perkongsian tersebut memberi panduan praktikal kepada peserta untuk memahami prosedur dan instrumen yang sesuai dalam memastikan pengurusan harta dilaksanakan dengan lebih teratur, adil dan berkesan.
Penganjuran seminar ini diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang lebih peka terhadap kepentingan merancang harta sejak awal, seterusnya memastikan hak waris terpelihara, mengurangkan risiko pembekuan harta pusaka serta menyumbang kepada pembentukan institusi keluarga yang lebih harmoni dan sejahtera, selaras dengan tema seminar, "Harta Tak Beku, Waris Bersatu."







