WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
ILIM Kampus Bangi - 22hb Julai 2026 - Berakhir sudah Kursus Kemahiran Open Source Intelligence (OSINT) Dalam Pengendalian Kes Jenayah Syariah selama 3 hari bermula 20hb Julai 2026 hingga 22hb Julai 2026 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).
 
Matlamat utama kursus ini dianjurkan adalah bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta berkaitan ilmu perisikan, teknik dan cara-cara untuk mendapatkan serta menganalisa maklumat menggunakan sumber terbuka (open source).
Kursus ini telah berjaya dilaksanakan dengan memberi pendedahan kepada seramai 40 orang Pegawai Penguatkuasa Agama seluruh negeri mengenai konsep sebenar OSINT dalam mendapatkan maklumat ketika menjalankan siasatan, khususnya dalam kes jenayah syariah.
 
Kehadiran para Pegawai Penguatkuasa Agama dalam kursus ini telah memberi impak yang positif, di mana mereka bukan sahaja memperoleh ilmu baharu, malah dapat memperkukuhkan kemahiran dalam menjalankan tugas dengan lebih berkesan. Semangat para peserta juga terserlah sepanjang kursus ini dijalankan menjadikan kursus ini mencapai objektifnya.
 
Bagi melahirkan Pegawai Penguatkuasa Agama yang seimbang dari segi kekuatan intelektual dan spiritual berlandaskan fikrah Islamiah, penceramah jemputan adalah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Puan Norhidayu binti Rusali selaku Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perundangan Syariah JAKIM manakala penceramah daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia adalah Tuan Mohd Khaidir bin Abdul Rahman selaku Timbalan Pengarah yang berpengalaman luas dalam melaksanakan siasatan kes menggunakan kaedah OSINT.
 
Perkongsian ilmu dan pengalaman para penceramah merangkumi aspek teori serta praktikal ditekankan dalam medium penyampaian sesi pembelajaran. Kursus ini telah mendapat komitmen yang sangat baik daripada semua peserta yang hadir. ILIM meletakkan harapan agar segala pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh daripada kursus ini dapat diaplikasikan secara praktikal, seterusnya menjadi pemangkin kepada keberkesanan tugas penguatkuasaan syariah di lapangan. Semoga kursus ini menjadi titik tolak kepada peningkatan profesionalisme dan integriti dalam memartabatkan syariat Islam di negara kita.