WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, Selangor – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Kursus Sahsiah Pendidik Pesona bermula 14 hingga 16 Julai 2026 sebagai inisiatif memperkukuh pembangunan sahsiah dan profesionalisme pendidik selaras dengan keperluan pendidikan masa kini. Kursus ini bertujuan meningkatkan kefahaman peserta terhadap pembentukan sahsiah pendidik yang cemerlang, memperkasa kemahiran dalam komunikasi, pengurusan diri dan hubungan interpersonal, serta membentuk sikap pendidik yang berintegriti, proaktif dan berorientasikan penambahbaikan berterusan. Objektif tersebut diterjemahkan melalui sepuluh slot pembelajaran yang disusun secara sistematik bagi membina jati diri, kompetensi dan keyakinan peserta.
 
Peserta yang mengikuti kursus ini terdiri dari kalangan tenaga pengajar daripada JAKIM, Guru Besar, Penyelia dan guru KAFA daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta pegawai gred 5 dan atas daripada kementerian/ agensi luar.
 
Kursus ini dikendalikan oleh Dr. Nik Muhammad Hanis bin Nek Rakami yang berpengalaman dalam bidang pedagogi berasaskan nilai, pembelajaran digital, reka bentuk pengalaman pembelajaran dan pembangunan kompetensi pendidik. Keunikan Kursus Sahsiah Pendidik Pesona terletak pada pendekatan pembelajaran yang mengintegrasikan pembangunan sahsiah, kecerdasan emosi dan kemahiran komunikasi dalam satu modul yang menyeluruh. Pendekatan interaktif melalui ceramah, simulasi, perbincangan, latihan praktikal dan refleksi kendiri membolehkan peserta bukan sahaja memahami konsep yang disampaikan, malah berupaya mengaplikasikannya dalam situasi sebenar. Pendekatan ini menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna, praktikal dan memberi impak yang berterusan terhadap pembangunan profesional peserta.
 
Peserta menunjukkan penglibatan yang aktif melalui aktiviti yang dijalankan dan sesi perkongsian pengalaman sepanjang kursus dilaksanakan. Komitmen yang ditunjukkan telah menyumbang kepada pencapaian objektif kursus serta memperkayakan perkongsian ilmu dan pengalaman.
 
Penganjuran kursus ini diharapkan dapat melahirkan pendidik yang berkarisma, berintegriti, berpengaruh dan mampu menyumbang secara signifikan kepada kecemerlangan organisasi, ummah dan negara.