WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 8 Julai 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Aset Alih Kerajaan pada 7 hingga 8 Julai 2026. Kursus yang dikendalikan oleh penceramah daripada Institut Perakaunan Negara (IPN) ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta berkaitan tatacara pengurusan aset alih kerajaan mengikut peraturan yang berkuat kuasa.
 
Sepanjang kursus, peserta didedahkan dengan keseluruhan proses pengurusan aset yang meliputi penerimaan, pendaftaran, penggunaan, penyimpanan, pemeriksaan, penyelenggaraan, pemindahan, pelupusan, kehilangan dan hapus kira aset. Penceramah turut berkongsi amalan terbaik serta membincangkan isu-isu yang sering dihadapi dalam pengurusan aset bagi membantu peserta memahami pelaksanaan prosedur dengan lebih jelas dan sistematik.
 
Selain meningkatkan kefahaman terhadap tatacara pengurusan aset, kursus ini turut memberi penekanan kepada aspek akauntabiliti, integriti dan pematuhan dalam pengurusan aset kerajaan. Sesi perbincangan dan soal jawab bersama penceramah memberi peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan mengenai isu-isu pelaksanaan serta berkongsi pengalaman bagi memperkukuh pengurusan aset di organisasi masing-masing.
 
Secara keseluruhannya, kursus ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dalam memperkukuh kompetensi peserta dalam pengurusan aset alih kerajaan. Diharapkan ilmu yang diperoleh dapat diaplikasikan dalam pelaksanaan tugas harian bagi meningkatkan kecekapan pengurusan aset serta memperkukuh tadbir urus organisasi yang lebih cekap, telus dan berakauntabiliti.