Bangi, Selangor – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah berjaya menganjurkan Kursus Art of Leadership pada 30 Jun 2026 hingga 1 Julai 2026 yang menghimpunkan 33 orang peserta daripada pelbagai agensi dan institusi bagi memperkukuh kompetensi kepimpinan serta meningkatkan keupayaan peserta dalam mendepani cabaran organisasi masa kini.
Kursus yang berlangsung selama dua hari ini bertujuan memberi kefahaman mengenai konsep dan amalan kepimpinan berkesan, memperkukuh kompetensi kepimpinan peserta ke arah melahirkan pemimpin yang berintegriti, berwibawa dan berketerampilan.
Sepanjang kursus, peserta didedahkan dengan pelbagai topik penting merangkumi aspek kepimpinan diri, pembinaan pasukan berprestasi tinggi, seni mempengaruhi, kecerdasan emosi dalam membuat keputusan, minda maqasid serta kepimpinan Rabbani berteraskan nilai dan pembinaan legasi.
Pelbagai aktiviti interaktif, simulasi, perbincangan kumpulan dan sesi refleksi turut dilaksanakan bagi memberi pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna serta membantu peserta memahami aplikasi konsep kepimpinan dalam situasi sebenar organisasi. Malah peserta turut diberi peluang menguji keupayaan membuat pertimbangan melalui simulasi kepimpinan, menyelesaikan dilema organisasi serta menilai kekuatan dan blind spot masing-masing sebagai seorang pemimpin.
Antara pengisian yang mendapat perhatian peserta ialah kupasan mengenai kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam Peristiwa Hudaibiyah yang memperlihatkan keupayaan Baginda membaca situasi, mengurus konflik dan membuat keputusan strategik demi mencapai matlamat yang lebih besar.
Penganjuran kursus ini diharapkan dapat melahirkan pemimpin yang bukan sahaja kompeten dari sudut pengurusan dan kepimpinan, malah mempunyai nilai, hikmah dan jati diri yang tinggi dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.




