BANGI, 29 Jun 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah mengadakan Majlis Perhimpunan Bulanan ILIM Bil. 5/2026 yang berlangsung di Bilik Ibnu Khaldun, ILIM Kampus Utama Bangi.
Majlis telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM. Dalam amanatnya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga ILIM atas komitmen, kerjasama dan dedikasi yang berterusan dalam memperkukuh peranan ILIM sebagai institusi latihan Islam yang unggul dan berwibawa.
Beliau turut berkongsi pengisian daripada buku “Broke on Monday, Boss by Friday” yang mengetengahkan kisah transformasi kehidupan seseorang yang bermula dalam keadaan serba mencabar, namun memilih untuk terus berusaha dan tidak berputus asa. Perkongsian tersebut menekankan bahawa cabaran dan kesukaran yang dihadapi mampu menjadi pemangkin kepada perubahan, kematangan pemikiran serta kejayaan sekiranya disertai dengan tekad, usaha dan keyakinan yang tinggi.
Pengisian tersebut turut membawa mesej tentang kepentingan daya tahan, keberanian dan sikap positif dalam menghadapi cabaran kehidupan, sekali gus menjadi inspirasi kepada warga ILIM untuk terus melangkah ke hadapan dalam mencapai kecemerlangan diri dan organisasi.
Penganjuran majlis ini menjadi platform penting dalam mempererat ukhuwah, memperkukuh semangat kebersamaan serta menyampaikan maklumat dan perkembangan semasa jabatan kepada seluruh warga ILIM.
Majlis turut diserikan dengan sesi pengenalan Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam yang memberi pendedahan mengenai peranan dan fungsi pusat tersebut dalam memperkasa pembangunan kepimpinan Islam.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan slot penuh bermakna, “Setulus Budi, Seabadi Kenangan”, sebagai tanda penghargaan atas segala jasa, komitmen, pengorbanan dan sumbangan yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan di Institut Latihan Islam Malaysia.
Penghargaan tersebut diberikan kepada dua orang pegawai ILIM yang bersara iaitu Encik Nik Ismail bin Jusoh dan Encik Mohd Yusof bin Musa serta pegawai ILIM yang bertukar keluar : Puan Wan Esma binti Wan Ahmad, Puan Noraaini binti Saaidin dan Cik Norhazira binti Zakaria.
Segala jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan akan terus terpahat sebagai memori indah serta legasi berharga dalam sejarah perkhidmatan ILIM. Semoga setiap usaha, pengorbanan dan sumbangan yang diberikan menjadi amal kebajikan yang berpanjangan serta mendapat ganjaran terbaik di sisi Allah SWT.




