Bangi, 29 Jun 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menerima kunjungan hormat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertempat di Bilik Mesyuarat Uthman, Aras 2, Blok Pentadbiran, ILIM Kampus Utama Bangi, Selangor.
Kunjungan hormat ini telah dipengerusikan oleh Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM. Delegasi SPRM pula diwakili oleh PKPj Dr. Azlan bin Abd Aziz dari Cawangan Penyelidikan dan Kompetensi, Bahagian Khidmat Pengurusan serta PKPj Dr. Hairuzzaki bin Mohd Yusof dari Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM.
Sesi kunjungan ini menjadi platform perkongsian strategik antara ILIM dan SPRM, khususnya dalam memperkukuh aspek pembangunan kompetensi, latihan, integriti serta budaya kerja berprestasi tinggi dalam kalangan penjawat awam.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada ruang kerjasama yang berpotensi diteroka, termasuk perkongsian kepakaran, pembangunan modul, pemantapan latihan serta inisiatif pengukuhan nilai integriti dalam penyampaian perkhidmatan awam.
ILIM menyambut baik kunjungan hormat ini sebagai langkah positif dalam memperluas jaringan strategik bersama agensi kerajaan, selaras dengan peranan ILIM sebagai institusi latihan Islam yang komited dalam membangunkan modal insan berilmu, kompeten dan berintegriti.
Semoga hubungan baik antara ILIM dan SPRM terus diperkukuh demi menyokong agenda pembangunan kompetensi, tadbir urus yang berkesan dan pemerkasaan nilai integriti dalam perkhidmatan awam. ILIM terus komited memperkasa latihan, membina kompetensi dan menyemarakkan budaya integriti.




