Kundasang, 25 Jun 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Seksyen Penyelidikan dan Pembangunan Islam Program Teras telah berjaya melaksanakan Kursus Eksplorasi Al-Hay'ah selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Jun 2026 di ILIM Kampus Kundasang, Sabah.
Program yang menghimpunkan seramai 40 orang peserta ini melibatkan penyertaan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Pejabat Daerah Ranau. Penyertaan rentas agensi ini bukan sahaja memperkukuhkan jaringan kerjasama dan perkongsian pengalaman antara penjawat awam daripada pelbagai latar belakang perkhidmatan, malah membantu membentuk kekuatan dalaman (inner strength), daya tahan diri, semangat kepimpinan serta keupayaan menghadapi cabaran tugas dengan lebih yakin, berintegriti dan berkesan.
Kursus Eksplorasi Al-Hay'ah merupakan sebuah modul baharu yang diilhamkan oleh Pengarah Kanan ILIM Kampus Utama Bangi, YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, sebagai salah satu pendekatan inovatif dalam pembangunan insan berteraskan nilai-nilai Islam. Modul ini dibangunkan di bawah Seksyen Penyelidikan dan Pembangunan Islam Program Teras bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh melalui gabungan elemen penghayatan, penerokaan, refleksi kendiri dan aktiviti berasaskan pengalaman.
YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal turut hadir menyempurnakan perasmian kursus ini serta berkongsi pengalaman dan aspirasi beliau dalam satu slot khas bersama peserta. Dalam perkongsian tersebut, beliau menegaskan bahawa Kursus Eksplorasi Al-Hay'ah dibangunkan berteraskan falsafah "Meneroka Alam, Menghayati Kebesaran Ilahi, Membina Kekuatan Dalaman Diri", selaras dengan hasrat untuk melahirkan penjawat awam yang bukan sahaja cemerlang dari aspek kompetensi dan profesionalisme, malah memiliki kekuatan jiwa, ketahanan diri serta kesedaran yang tinggi terhadap peranan mereka sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. Sesi tersebut telah memberi suntikan motivasi dan inspirasi kepada para peserta untuk terus memperkukuhkan integriti, kepimpinan serta kecemerlangan diri dalam melaksanakan amanah perkhidmatan.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai pengisian yang dirangka secara interaktif dan holistik. Keindahan alam semula jadi Kundasang turut dimanfaatkan sebagai medium pembelajaran bagi meningkatkan kesedaran terhadap kebesaran Allah SWT, mengukuhkan semangat kerjasama, memupuk ketahanan fizikal dan mental serta membina keseimbangan antara kecemerlangan profesional dan kesejahteraan diri. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang diterapkan sepanjang kursus telah memberi peluang kepada peserta untuk menilai potensi diri, memperkukuhkan nilai kepimpinan dan menghayati hikmah kejadian alam sebagai manifestasi kebesaran Pencipta.
Pelaksanaan modul baharu ini jelas menunjukkan potensinya dalam menarik minat lebih ramai penjawat awam untuk menyertai program pembangunan insan yang berteraskan penghayatan dan pengalaman. Maklum balas positif yang diterima daripada peserta membuktikan bahawa Kursus Eksplorasi Al-Hay'ah bukan sahaja menawarkan pengalaman pembelajaran yang unik, malah berjaya memberikan impak yang signifikan terhadap pembentukan sahsiah, jati diri, kekuatan dalaman, semangat kerja berpasukan dan keupayaan kepimpinan peserta.
Penganjuran kursus ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program pembangunan insan yang kreatif dan berimpak tinggi, selaras dengan usaha ILIM untuk melahirkan penjawat awam yang berintegriti, kompeten, berfikiran strategik, berdaya tahan serta sentiasa menghayati nilai-nilai Islam dalam perkhidmatan demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara.





