WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 25 Jun 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Kursus Write for Deen pada 23 hingga 25 Jun 2026 bertempat di Bilik Kuliah Al-Biruni, ILIM.
 
Kursus ini bertujuan memperkasa kompetensi peserta dalam menghasilkan penulisan Islamik yang berkualiti, berimpak dan beretika sebagai medium dakwah, pendidikan serta penyampaian ilmu kepada masyarakat.
 
Sepanjang tiga hari pelaksanaan, peserta didedahkan dengan pelbagai aspek penting dalam penulisan Islamik merangkumi penjanaan idea, pembinaan struktur penulisan, teknik menghasilkan artikel berimpak, penulisan dakwah kreatif serta pemanfaatan teknologi semasa sebagai sokongan dalam proses penghasilan karya.
 
Peserta turut diberi ruang mengaplikasikan ilmu yang dipelajari melalui sesi Write for Deen Content Lab yang memfokuskan penghasilan karya penulisan secara praktikal, di samping penyediaan pelan tindakan (action plan) bagi kesinambungan aktiviti penulisan selepas kursus.
 
Sebagai pengisian nilai tambah, peserta turut mengikuti Lawatan Ilmiah ke Jejak Tarbiah bagi mendapatkan pendedahan berkaitan proses penerbitan, penyuntingan karya secara profesional, pengurusan manuskrip serta amalan terbaik dalam menghasilkan bahan penulisan yang berkualiti.
 
Penganjuran kursus ini diharapkan dapat melahirkan lebih ramai Penulis Ummah dalam kalangan penjawat awam yang berupaya menyampaikan mesej Islam secara berhikmah, berautoriti dan relevan dengan perkembangan semasa.
Melalui usaha ini, penulisan bukan sekadar menjadi medium penyampaian ilmu, bahkan menjadi satu bentuk dakwah yang mampu memberi manfaat dan menyentuh hati masyarakat.