WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
ILIM Kampus Bangi - 24hb Jun 2026 - Berakhir sudah Kursus Get To Know Undang-undang Syariah selama 3 hari bermula 22hb Jun 2026 hingga 24hb Jun 2026. Kursus ini dilaksanakan bagi meningkatkan kefahaman peserta mengenai sistem perundangan syariah yang diamalkan di Malaysia serta memperkukuhkan kesedaran tentang kepentingan pematuhan dan pemakaian undang-undang syariah dalam kehidupan masyarakat Islam.
 
Penyertaan peserta kursus yang terdiri daripada pelbagai latar belakang iaitu Pegawai Hal Ehwal Islam daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), pegawai-pegawai pelbagai kementerian dan Kor Agama Angkatan Tentera telah mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif dan memberi peluang kepada perkongsian pengalaman serta pandangan berkaitan pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia.
 
Kursus ini menggunapakai Modul Syariah dan Kehakiman sebagai rujukan utama. Penyampaian kursus dilaksanakan melalui kaedah ceramah dan latihan dalam kumpulan bagi memastikan peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan teori, malah berkongsi mengaplikasikan kefahaman yang diperoleh melalui aktiviti perbincangan dan pembentangan.
 
Sepanjang kursus berlangsung, peserta telah didedahkan kepada pelbagai aspek berkaitan undang-undang syariah termasuk konsep asas, bidang kuasa Mahkamah Syariah serta isu-isu semasa yang berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang syariah. Bagi memperkayakan lagi pengisian kursus, ILIM telah menjemput penceramah yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran iaitu Tuan Mohd Ridzwan bin Ghazali selaku Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di Putrajaya, Tuan Dr Suhaizad bin Saifuddin selaku Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia dan Puan Tuan Sara Waheeda binti Tuan Dir selaku Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di Putrajaya.
 
Para peserta memberikan komitmen yang tinggi sepanjang kursus berlangsung dan menunjukkan minat yang mendalam terhadap topik yang dibincangkan. ILIM berharap peserta dapat menjadi agen penyebaran maklumat yang tepat berkaitan undang-undang syariah kepada masyarakat serta terus meningkatkan kompetensi profesional melalui pembelajaran berterusan bagi memperkukuhkan tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dalam bidang hal ehwal Islam.