Lahad Datu, 24 Jun 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menerusi Program Kecemerlangan Pengurusan Hal Ehwal Islam (PKPHEI), telah berjaya menganjurkan Kursus Pemahaman Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) Secara Dalam Talian selama dua hari satu malam, bermula pada 23 hingga 24 Jun 2026.
Program yang berlangsung dengan jayanya itu telah menghimpunkan seramai 158 peserta yang terdiri daripada Kader JAKIM, Guru Takmir, Imam Kariah dan Imam Rawatib serta pegawai dan anggota Perkhidmatan Hal Ehwal Islam (PHEI) dari seluruh negeri Sabah.
Penganjuran kursus ini bertujuan memperkukuh kefahaman dan penghayatan terhadap prinsip serta manhaj akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai teras pegangan umat Islam. Di samping itu, kursus ini turut menekankan aspek pencerahan mengenai ancaman aliran pemikiran dan fahaman yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpotensi menggugat kemurnian akidah, kestabilan sosial serta keharmonian negara.
Selain itu, program ini berperanan sebagai wadah pemerkasaan ilmu dalam meningkatkan kesedaran peserta terhadap pelbagai cabaran kontemporari yang berkaitan dengan akidah dan pemikiran Islam, sekali gus membincangkan pendekatan strategik serta mekanisme yang berkesan dalam mendepani dan menangani penularan fahaman yang menyeleweng daripada landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Bagi memastikan penyampaian ilmu berlangsung secara komprehensif dan berimpak tinggi, tiga tokoh ilmuwan dan pendakwah yang berwibawa dalam bidang akidah telah diundang khas sebagai penceramah. Mereka ialah Ustaz Abd Razak bin Hamdin, Timbalan Mufti Negeri Sabah, Datuk Dr. Zaifuddin bin Md. Rasip, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta Ustaz Mohammad Tasawwuf bin Hassan, Ketua Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-Undang Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai slot pengisian ilmiah yang sarat dengan kupasan semasa dan perbahasan mendalam berkaitan isu-isu akidah. Antara tajuk yang diketengahkan ialah Akidah Sebagai Asas Peradaban: Menyingkap Fitrah dan Keperluan Beragama, Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah: Identiti, Kerangka dan Prinsip, Ketahanan Akidah dalam Era Digital: Strategi Pemerkasaan Individu, Keluarga dan Komuniti, Penyelewengan Akidah dan Pemikiran Menyimpang di Negeri Sabah, Fatwa Akidah Kontemporari di Negeri Sabah, serta Penguatkuasaan Menangani Penyelewengan Akidah di Negeri Sabah: Isu, Cabaran dan Pendekatan.
Penganjuran kursus ini diharap dapat melahirkan peserta yang lebih cakna, berdaya tahan dan beriltizam dalam mempertahankan kemurnian akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pada masa yang sama, program seumpama ini diyakini mampu memperteguh benteng pemikiran umat Islam daripada pengaruh fahaman songsang, sekali gus menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang berilmu, berintegriti dan berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sahih.




