WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
ILIM Bangi – 21hb Mei 2026. Di tengah-tengah tuntutan amanah dan tanggungjawab dalam menegakkan keadilan syariah, keupayaan seseorang pegawai penguat kuasa agama untuk tampil sebagai saksi yang berwibawa merupakan satu elemen yang amat penting. Menyedari hakikat tersebut, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Kursus Profesionalisme Saksi Mahkamah sebagai wadah memperkasa ilmu, meningkatkan keyakinan serta memantapkan profesionalisme pegawai penguat kuasa agama dalam melaksanakan peranan mereka di mahkamah dengan penuh integriti, hikmah dan kewibawaan.
 
Seramai 40 orang peserta telah menyertai kursus ini yang terdiri daripada Pegawai Penguatkuasa Agama Islam Negeri, pegawai Jabatan Kehakiman Syariah Negeri dan Jabatan Bantuan Guaman Negeri. Penyertaan pelbagai agensi ini mencerminkan komitmen berterusan institusi agama dalam memperkasakan sistem penguatkuasaan dan kehakiman syariah negara.
 
Kursus ini telah dikendalikan oleh penceramah jemputan berpengalaman iaitu Yang Arif Tuan Abdul Fattah bin Dato’ Kamarudin selaku Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Puan Tuan Sara Waheeda binti Tuan Dir selaku Penolong Pengarah Kanan di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Putrajaya dan Tuan Mohamad Saufi bin Mastor Lani selaku Ketua Seksyen Perundangan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor yang telah berkongsi ilmu, pengalaman serta panduan praktikal berkaitan pengendalian kes dan peranan saksi di mahkamah. Penyampaian kursus dilaksanakan melalui sesi ceramah dan latihan praktikal di mahkamah simulasi bagi memberi pendedahan sebenar kepada peserta tentang situasi dan cabaran semasa prosiding perbicaraan.
 
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta memberikan komitmen dan penglibatan yang amat memberangsangkan. Maklumbalas yang diterima menunjukkan bahawa kursus ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan serta memberi impak positif dalam meningkatkan tahap keyakinan dan profesionalisme peserta.
 
ILIM berharap agar segala ilmu, pengalaman dan kemahiran yang diperoleh menerusi kursus ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan dan penyampaian keterangan di mahkamah dengan lebih efektif, berintegriti dan berlandaskan prinsip keadilan syariah. Diharapkan juga para peserta akan terus menjadi barisan pegawai yang berwibawa serta mampu memperkukuh kredibiliti institusi perundangan dan penguatkuasaan Islam di negara ini.