Bangi, Selangor – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Kursus Kelestarian Institusi Masjid bermula 12 hingga 14 Mei 2026 bagi bagi meningkatkan kefahaman, kemahiran dan sikap profesional peserta dalam memperkasa tadbir urus masjid secara lestari, inklusif dan berimpak tinggi berteraskan prinsip Islam serta pembangunan ummah. Pengisian kursus merangkumi konsep kelestarian dalam Islam, pelan tindakan tadbir urus, etika dan profesionalisme, pengurusan pendidikan komuniti.
Kursus ini menampilkan perkongsian daripada barisan penceramah berpengalaman dalam bidang pengurusan institusi Islam dan tadbir urus masjid iaitu Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib, Dr Ahmad Zahiruddin Zabidi, Ustaz Mohd Nazri Abu Zarim dan Ustaz Amiza Khuysri Yusof. Antara keunikan utama kursus ini ialah lawatan penanda aras ke Masjid Sri Sendayan Negeri Sembilan serta sesi perkongsian berkaitan pengurusan dan pengimarahan masjid yang memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai amalan terbaik pengurusan institusi masjid.
Sepanjang kursus berlangsung, peserta menunjukkan penglibatan yang aktif dalam sesi ceramah, bengkel dan perbincangan berkumpulan. Pendekatan interaktif yang digunakan berjaya membantu peserta memahami keperluan transformasi institusi masjid agar lebih responsif terhadap cabaran semasa dan keperluan komuniti.
Diharapkan segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat diaplikasikan dalam memperkasa peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah.




