WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 14 Mei 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) JAKIM Kampus Utama Bangi melalui Program Teras telah berjaya melaksanakan Kursus Penyelidikan dan Pembangunan Fatwa yang berlangsung selama 3 hari bermula pada 12 sehingga 14 Mei 2026.
 
Kursus ini bermatlamat untuk memberi pendedahan mengenai konsep fatwa, prinsip fiqh serta kaedah-kaedah fiqh sebagai asas dalam proses penentuan hukum. Pendedahan ini penting sebagai memperkenalkan metodologi pengeluaran fatwa melalui kaedah istinbat dan istidlal hukum yang berasaskan sumber syariah yang muktabar. Di samping itu, kursus ini dapat meningkatkan kompetensi peserta dalam menganalisis isu-isu semasa, khususnya yang melibatkan perkembangan teknologi, sosial dan cabaran kontemporari umat Islam Seramai 51 orang Pegawai Hal Ehwal Islam pelbagai gred daripada JAKIM, JAIN, Jabatan Mufti Negeri dan beberapa agensi lain telah menyertai kursus ini.
 
Majlis perasmian penutup kursus ini telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia dan turut dihadiri YBrs. Tuan Haji Mohamad Roska bin Mohamed Rasidek, Ketua Penolong Pengarah Kanan Program Teras ILIM.
 
Tiga (3) orang penceramah yang berkelayakan dan berpengalaman dalam bidang kefatwaan telah dijemput untuk berkongsi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman sepanjang kursus ini. Antara penceramah jemputan adalah YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd. Hapiz bin Mahaiyadin, Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr. Mohd Kamel bin Mat Salleh, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan dan Dr. Mohamad Razif bin Mohamad Fuad, Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).