Bangi, 13 Mei 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Perolehan Kerajaan yang berlangsung selama dua hari bermula 12 hingga 13 Mei 2026. Penganjuran kursus ini bertujuan meningkatkan kefahaman peserta berkaitan tatacara dan pengurusan perolehan kerajaan secara lebih teratur, cekap dan mematuhi peraturan semasa.
Kursus ini telah dikendalikan oleh Encik Mohd Fairuz bin Sa’don daripada Kementerian Kewangan Malaysia yang berkongsi pelbagai input berkaitan prinsip, dasar dan kaedah perolehan kerajaan termasuk pembelian terus, sebut harga dan tender terbuka. Penyampaian yang interaktif serta perkongsian pengalaman sebenar turut membantu peserta memahami aplikasi pengurusan perolehan dalam konteks tugas harian di jabatan masing-masing.
Selain itu, peserta juga didedahkan dengan analisis isu-isu naziran serta strategi penambahbaikan dalam pengurusan perolehan bagi memperkukuhkan aspek integriti, pematuhan dan tadbir urus organisasi.
Penganjuran kursus ini diharap dapat melahirkan penjawat awam yang lebih kompeten dan berpengetahuan dalam pengurusan perolehan kerajaan serta mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan organisasi secara profesional dan berintegriti.


