Bangi, 29 April 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Kursus Perancangan Strategik Menangani Perubahan Semasa sebagai inisiatif memperkukuh kecekapan tadbir urus organisasi Islam dalam menghadapi cabaran persekitaran yang semakin dinamik. Kursus ini disertai oleh seramai 42 orang Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM serta pegawai kader dalam kumpulan Pengurusan dan Profesional. Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kefahaman dan kemahiran peserta dalam merancang serta melaksanakan strategi yang lebih responsif, sistematik dan berimpak tinggi.
Kursus ini memberi fokus kepada pengukuhan kefahaman peserta terhadap pendekatan perancangan strategik yang responsif terhadap perubahan semasa, termasuk aspek digitalisasi, perubahan dasar, serta cabaran sosio-ekonomi global. Antara pengisian utama termasuk sesi perkongsian ilmu, latihan dalam kumpulan (LDK), sesi pembentangan serta perbincangan kes yang menekankan aplikasi praktikal dalam konteks organisasi.
Selain itu, pendekatan Maqasid Syariah turut diintegrasikan sebagai asas dalam perancangan strategik bagi memastikan setiap keputusan dan tindakan organisasi selari dengan prinsip pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Pendekatan ini diyakini dapat memperkukuh nilai integriti, akauntabiliti dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
Program ini juga berjaya meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan pemikiran strategik dalam kalangan peserta, selaras dengan keperluan memperkasa pegawai Hal Ehwal Islam agar lebih bersedia mendepani cabaran semasa secara lebih tersusun dan berkesan.
Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan ILIM dalam memperkasa modal insan Islam yang kompeten, berilmu dan berintegriti, selaras dengan usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan Islam yang berkualiti kepada masyarakat.





