Bangi, 4 Julai 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) bersama Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta meneruskan tradisi ilmu menerusi program Serambi Naskhah yang mengetengahkan buku berjudul Menjadi Guru Ala Nabi: Cara Islam Mendidik dan Melahirkan Generasi Hebat. Program ini berlangsung di Dewan Datuk Mohd Shahir, ILIM Kampus Utama Bangi dan turut disertai oleh warga ILIM dari Kampus Utama dan Kampus Cawangan secara hibrid.
Program ini menampilkan penulis buku sendiri, Dr. Thobib Al-Asyhar, M.Si sebagai penceramah jemputan khas. Beliau berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan pendekatan Rasulullah SAW dalam mendidik ummah – pendekatan yang sarat dengan kasih sayang, hikmah dan kefahaman yang mendalam terhadap fitrah manusia.
Ustaz Mohd Shamsuri Ghazali turut bertindak sebagai pemudahcara program, mengemudi sesi diskusi dengan penuh tertib dan menarik. Beliau mencetuskan dialog yang bermakna antara peserta dan penceramah serta menghubungkan isi buku dengan konteks pendidikan semasa.
Dalam pembentangannya, Dr. Thobib menekankan bahawa menjadi guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi turut memerlukan keteladanan akhlak, kesabaran, dan keikhlasan seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Beliau juga membawakan contoh-contoh praktikal dari sirah Nabi yang boleh dijadikan panduan oleh para pendidik masa kini dalam membentuk generasi rabbani.
Program yang berlangsung selama dua jam itu turut membuka ruang soal jawab interaktif antara peserta dan penceramah, mencetuskan perbincangan ilmiah yang bermanfaat dan menyentuh aspek-aspek realiti dalam dunia pendidikan Islam masa kini.
Serambi Naskhah edisi kali ini berjaya mengangkat nilai keilmuan dalam bentuk yang santai namun berisi, sekali gus memperkukuh budaya membaca dan penghayatan terhadap karya ilmiah di kalangan warga ILIM.




