Bangi, 2 Julai 2025 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) melalui Seksyen Pengantarabangsaan, Cawangan Dasar Latihan telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Kursus Bagi Peserta Antarabangsa bertujuan menyelaras pelaksanaan tiga (3) kursus yang melibatkan peserta dari Sri Lanka, Maldives dan New Zealand.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM dan turut dihadiri oleh pengurusan kanan ILIM serta urus setia pelaksana. Mesyuarat telah membincangkan aspek tarikh, lokasi, kandungan modul, kaedah penyampaian, serta keperluan logistik dan teknikal agar program dapat dilaksanakan secara tersusun dan berimpak tinggi.
Tiga kursus antarabangsa yang dirancang ialah Islamic Affairs in Malaysia: Governance & Administration Course (8–20 September 2025), Islamic Affairs in Malaysia: Governance & Administration Course (6–18 Oktober 2025) dan International Training Program: Falak Competency, Imamship and Institutional Mosque Governance (22–25 September 2025).
Kursus ini akan melibatkan pengisian seperti lawatan rasmi ke agensi kerajaan, bengkel, pembentangan kertas serta aktiviti spiritual dan kebudayaan bagi memberikan pengalaman menyeluruh kepada peserta antarabangsa.
Pelaksanaan kursus ini merupakan antara inisiatif strategik ILIM untuk memperluas jalinan kerjasama dengan institusi Islam luar negara, khususnya dari rantau Asia Selatan dan Pasifik, serta memperkukuh kapasiti latihan bertaraf antarabangsa. Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi ILIM untuk menjadi Pusat Kecemerlangan Latihan Islam Global (Global Training Centre for Islamic Governance).


