WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 18 April 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Majlis Perhimpunan Bil. 3/2025 yang disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina Zainal, Pengarah Kanan ILIM dan diserikan dengan Sambutan Aidilfitri ILIM 2025, bertemakan "Serantau Serumpun ASEAN". Majlis yang berlangsung di Dewan Datuk Mohd Shahir, ILIM Kampus Utama Bangi ini telah berjaya menghimpunkan seluruh warga kerja ILIM dalam suasana penuh muhibah dan harmoni.
 
Majlis turut menerima kehadiran istimewa YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri Hal Ehwal Agama, yang hadir bersama YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM serta YBhg. Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM. Majlis bertambah meriah dengan kehadiran para tetamu dari pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat.
 
Sambutan Aidilfitri ILIM 2025 menampilkan konsep kepelbagaian budaya serumpun yang diraikan bersama. Dewan Datuk Mohd Shahir dihias indah dengan elemen-elemen tradisional daripada negara-negara ASEAN seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, Filipina, Laos, Kemboja, Vietnam dan Myanmar, mencerminkan semangat kesatuan dalam kepelbagaian.
 
Pelbagai juadah tradisional raya seperti rendang, ketupat, lemang serta hidangan istimewa dari negara-negara jiran turut disajikan kepada para tetamu. Warga ILIM tampil memeriahkan suasana dengan mengenakan pakaian tradisional pelbagai etnik ASEAN, menyemarakkan lagi semangat kebersamaan yang menjadi inti utama sambutan kali ini.
 
Sebelah petang, ILIM turut menerima kunjungan YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri yang berbesar hati meluangkan masa bersama warga ILIM dalam sesi jamuan Aidilfitri serta ramah mesra bersama tetamu dan kakitangan.
 
Majlis turut dimeriahkan dengan acara Pertandingan Gerai Paling Meletop yang menampilkan kreativiti dan semangat berpasukan warga ILIM serta sesi bergambar kenangan bersama para tetamu kehormat. Suasana penuh kemeriahan dan harmoni jelas terpancar sepanjang acara berlangsung.
 
ILIM amat berharap agar dapat dikenali sebagai pusat latihan Islam unggul di peringkat antarabangsa bermula dengan langkah yang mencerminkan profesionalisme, kecemerlangan dan semangat ukhuwah yang merentasi sempadan.
 
ILIM berharap melalui penganjuran majlis seperti ini, nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, kesederhanaan dan kasih sayang dapat terus diterapkan dalam usaha membina masyarakat madani yang inklusif dan berdaya tahan, seiring aspirasi Malaysia Madani dan semangat Serumpun ASEAN.