Bangi, 24 Mac - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI) telah menganjurkan Kursus Penulisan Kreatif Dakwah secara dalam talian pada 23 hingga 24 Mac 2022. Kursus tersebut telah disertai 40 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Islam, Kader JAKIM, Pegawai agensi di bawah YB Menteri di JPM, MAIN dan JAIN.
Kursus tersebut diadakan bertujuan memberi kefahaman kepada para peserta mengenai teknik penulisan kreatif, mempertingkatkan kebolehan peserta dalam menghasilkan penulisan dakwah yang berkualiti dan melahirkan pendakwah yang mahir dengan penulisan kreatif dakwah yang terkini, sesuai dengan perkembangan alaf baru.
Penceramah yang diundang ialah YBrs. Puan Norli binti Madlan atau dikenali sebagai Bonda Nor yang merupakan penulis buku serta pemilik Bonda Nor Resources, sebuah syarikat penerbitan dan konsultansi berkaitan penulisan. Kursus yang berlangsung selama dua hari ini membincangkan enam slot berkaitan penulisan. Antara topik yang dikupas ialah Asas Penulisan, Penulisan Dakwah Kreatif di Media Sosial, Asas Penulisan Dakwah untuk Penerbitan Buku dan Pasca Penulisan.
Semoga kursus yang bermanfaat ini berjaya mencapai matlamatnya dalam memberi pendedahan kepada peserta berkenaan teknik penulisan dakwah kreatif dan berkualiti serta melahirkan pendakwah yang mahir dengan penulisan kreatif dakwah yang terkini.