TINGKATKAN KUALITI SISTEM PENYAMPAIAN MELALUI SENI MENDENGAR DALAM KOMUNIKASI
Bangi, 28 Januari – Komunikasi memainkan peranan yang amat penting. Ia melibatkan proses penyampaian maklumat dan penerima maklumat. Faktor utama kejayaan dalam sesebuah organisasi berkait rapat dengan komunikasi antara kakitangannya. Kegagalan menguasai komunikasi yang berkesan akan menyebabkan sistem penyampaian maklumat kurang difahami dan boleh memberi kesan negatif terhadap perjalanan organisasi.
Bagi memastikan proses penyampaian maklumat dapat berjalan dengan cekap dan efisyen, kursus kemahiran mendengar ini diadakan agar setiap individu dapat menambah pengetahuan dan mengadakan penambahbaikan terhadap diri untuk disesuaikan dengan peranan masing-masing dalam organisasi. Dalam sesi ucapan aluan, YBhg Tn. Hj. Zakaria bin Othman, Ketua Unit Komunikasi Korporat JAKIM menyatakan bahawa matlamat penganjuran kursus ini adalah untuk memperkukuhkan kefahaman dan mempertingkatkan penguasaan peserta terhadap teknik mendengar dengan baik agar setiap maklumat yang diterima mampu diproses dengan sebaiknya.
Kali ini, ILIM melalui Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan (KKKI) dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat (UKK) JAKIM mengundang YBhg Dato’ Dr. Ismail bin Alias, seorang pakar motivasi yang juga merupakan Mantan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. Beliau telah berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman beliau yang luas dalam bidang komunikasi dan juga kaunseling. 145 orang peserta dari pelbagai agensi dan juga kementerian yang hadir secara dalam talian telah memberi tumpuan dan komitmen yang baik dalam usaha untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran diri untuk mendengar, di samping mendapatkan solusi terhadap isu yang dihadapi dalam rutin tugasan apabila berhadapan dengan sebarang aduan dan permasalahan pelanggan.