Bangi, 26 & 27 Januari 2022 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam (KKKI) dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengadakan Bengkel Pemurnian Glosari Bahasa Isyarat Islam (i-Sign) Munakahat bagi Komuniti Orang Kurang Upaya Pendengaran Siri 1. Bengkel ini turut melibatkan panel-panel pakar daripada pelbagai agensi seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Teknologi Mara (UITM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPG KBM), Bahagian Pendidikan JAKIM, Bahagian Penyelidikan JAKIM, Bahagian Dakwah JAKIM serta Bahagian Dasar dan Kemajuan Islam JAKIM.
Bengkel yang diadakan selama 2 hari ini antara lain bertujuan untuk menyelaras dan memurnikan 140 glosari munakahat yang telah siap dibina serta menjelaskan rujukan kitab yang diambil dalam terjemahan glosari tersebut. Selain itu, bengkel ini juga bertujuan menjelaskan glosari bahasa isyarat islam Munakahat agar bertepatan dengan terjemahan atau tatabahasa Dewan Bahasa dan Pustaka bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham sebelum boleh digunapakai oleh komuniti OKU dan masyarakat.
Sepanjang dua hari bengkel dijalankan, sebanyak 140 glosari telah diselaraskan serta dimurnikan mengikut kefahaman yang mudah dan jelas. Seramai 28 orang ahli panel yang terdiri daripada Panel Pembina dan Panel Penilai telah menghadiri bengkel ini di Bilik Kuliah Ibnu Khaldun, Blok Akademik A, ILIM Kampus Utama Bangi.
Semoga bengkel ini berjaya memenuhi objektif yang digariskan justeru memberi kemudahan kepada masyarakat khususnya komuniti OKU Pendengaran di Malaysia untuk memahami dan menguasai istilah munakahat dan penerangannya dengan penguasaan signage yang betul dan tepat.