WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 30 September 2021 (Khamis) - ILIM Kampus Utama Bangi melalui Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam (KKKI) telah menganjurkan Wacana Kepimpinan Islam secara dalam talian dengan topik “Hubungan Kepimpinan Alam Melayu dan Daulah Uthmaniyyah” menerusi platform google meet dan FB live. Wacana terbuka ini disertai oleh seramai 178 orang peserta terdiri daripada penjawat awam daripada pelbagai agensi persekutuan dan negeri, antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri, Agensi di Bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Pendidikan Malaysia, dan lain-lain. Objektif utama wacana ini adalah untuk untuk meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan faktor kepimpinan dalam menerajui pemerintahan, dan menjadikan ketokohan juga kebijaksanaan kepimpinan Islam yang lalu sebagai inspirasi umat Islam masa kini.

Wacana yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.15 tengah hari telah menampilkan YBrs. Tuan Mohd. Hasanuddin bin Mohd. Yusof, Pengarah Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam. Beliau telah berkongsi  banyak fakta dan hasil penemuan dalam kajian beliau mengenai hubungan antara kerajaan - kerajaan tradisional di alam melayu dengan Turki Uthmaniyyah, kerajaan Islam yang masyhur di dunia ketika itu. Wacana dimulai dengan tayangan sedutan drama bersiri daripada negara Turki, Payitaht Abdul Hamid untuk memaparkan ketokohan Sultan Abdul Hamid II dan membangkitkan semangat para peserta. Semasa sesi rehat, sekali lagi peserta dipertontonkan dengan tayangan mengenai Sultan Abdul Hamid II menyelesaikan masalah Acheh yang dizalimi oleh Belanda, dilarang daripada mengadakan aktiviti di masjid dan disekat menunaikan haji.

Dapat difahami bahawa hubungan antara Kesultanan Melayu dan Daulah Uthmaniyyah telah bermula seawal abad ke 15 Masihi. Sejak era kepimpinan Muhammad al-Fateh, Daulah Uthmaniyyah telah pun mengadakan hubungan perdagangan dengan Kesultanan Melayu Melaka sejak tahun 1471M di bawah kepimpinan Sultan Mansur Syah. Bahkan Sultan Muhammad al-Fatih mengahwinkan anak perempuan baginda dengan anak sulung Sultan Mansur Syah, iaitu Raja Alauddin Syah. Bukan sekadar hubungan perdagangan, tetapi yang paling penting adalah hubungan persaudaraan Islam yang mendorong Kesultanan-kesultanan Melayu menyerahkan diri untuk berada di bawah naungan Uthmaniyyah. Dari era kegemilangan Uthmaniyyah dan kejatuhannya, kepimpinan Alam Melayu dan Sultan-sultan Uthmaniyyah ketika itu sentiasa memikirkan cara untuk mempertahankan kesucian Islam dan membebaskan diri daripada belenggu  penjajahan. Walaupun ketika keadaan semakin melemah kerana masalah dalaman dan serangan segenap penjuru, khalifah yang terakhir daripada rangkaian khilafah Islam, Sultan Abdul Hamid II, sentiasa memperhatikan keadaan di alam Melayu. Baginda masih cuba membantu dengan segala upaya dan kebijaksanaan untuk memberi perlindungan kepada alam Melayu.

Para peserta turut aktif bertanyakan soalan dan memberi maklum balas yang sangat positif terhadap penganjuran wacana ini. Semoga ia memberi banyak manfaat kepada para peserta, antaranya banyak maklumat dan fakta yang selama ini tidak diketahui, telah dibongkarkan oleh penceramah. Pengetahuan ini amat penting dalam membangkitkan kesedaran dalam jiwa anak bangsa agar lebih mengenal jati diri, menanam kecintaan terhadap sejarah dan tamadun melayu dan Islam itu sendiri. Kata ahli hikmah, “Jika hendak merosakkan pokok, racunilah akarnya. Jika hendak merosakkan bangsa, racunilah sejarahnya”. Ungkapan pengasas Daulah Uthmaniyyah, Seyh Edebali baik sekali direnungkan, “seorang yang tidak tahu akan sejarahnya, tidak akan tahu juga masa depannya,”.