Lahad Datu, 21 September - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Lahad Datu, JAKIM telah menganjurkan Kursus Metodologi Dakwah Siri 2 Secara Dalam Talian pada 21 September 2021. Kursus ini telah disertai seramai 91 orang peserta yang terdiri daripada Penjawat Awam, Perkhidmatan Hal Ehwal Islam, Penyelia KAFA, Guru KAFA, Kakitangan Pekerja Swasta dan Masyarakat Awam di kementerian/jabatan/agensi/persendirian secara dalam talian melalui aplikasi google meet.
Objektif utama ialah memberi kefahaman yang lebih mendalam kepada para peserta mengenai teknik-teknik penyampaian mesej dakwah yang lebih berkesan dalam keadaan berhadapan dengan wabak Pandemik Covid-19, mempertingkatkan pengetahuan mengenai aspek psikologi dakwah, dakwah bil hal dan keupayaan berkomunikasi dalam melaksanakan dakwah kepada masyarakat non Muslim dan saudara baru secara interaktif dalam talian.
Pengisian ceramah disampaikan oleh Ustaz Fahnan bin Abdul Wahab iaitu Ketua Jurulatih Utama, Program Pembangunan Adab & Nilai (PPADNI), Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Guru Pendidikan Islam SK Likas, Kota Kinabalu. Antara slot ceramah yang disampaikan ialah Dakwah Dalam Konteks Masyarakat Majmuk, Interaksi Dakwah Dengan Muslim, Non Muslim dan Mualaf.
Sepanjang kursus ini dilaksanakan secara dalam talian, para peserta telah memberikan komitmen yang cemerlang. Semoga kursus ini dapat menambah ilmu pengetahuan, kemahiran dan keyakinan kepada peserta supaya sentiasa berdakwah dalam kehidupan seharian meneruskan perjuangan Islam hingga ke akhir hayat. Majlis penutupan kursus di akhiri dengan sesi bergambar secara dalam talian di lokasi masing-masing.