Lahad Datu, 18 Ogos - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, JAKIM telah menganjurkan Kursus Fiqh Muamalat Secara Dalam Talian pada 18 Ogos 2021. Kursus ini telah disertai seramai 98 orang peserta yang terdiri daripada Penjawat Awam, Perkhidmatan Hal Ehwal Islam, Penyelia KAFA, Guru KAFA, Kakitangan Pekerja Swasta dan Masyarakat Awam di kementerian/jabatan/agensi/persendirian secara dalam talian melalui aplikasi google meet.
Pelaksanaan kursus ini bertujuan bagi memberi pendedahan kepada peserta dalam bidang Fiqh Muamalat. Selain itu, mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera. Muamalat yang di jalankan berlandaskan syariat Islam akan melahirkan masyarakat yang aman dan jauh daripada sebarang penipuan, pemerasan, ketidakadilan, memonopoli harta dan sebagainya, inilah matlamat muamalat dalam Islam demi kesejahteraan umat manusia. Muamalat dalam Islam bertujuan menghindarkan berlakunya sebarang penindasan sesama manusia. Islam menegah umatnya melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak baik yang akan menyusahkan pihak yang di tindas.
Kursus ini dikendalikan oleh Puan Dg Rozahanie binti Ag Mokti iaitu seorang penceramah yang berpengalaman dalam Bab Wasiat, Hibah dan Waqaf. Manakala Ustazah Rajunah bt. Radin Konsep menyampaikan ceramahnya yang bertajuk Takaful Islam. Pelbagai ilmu dan kaedah fiqh yang dikongsikan dalam Kursus Fiqh Muamalat Secara Online pada kali ini. Disamping itu juga, peserta diberikan peluang untuk sesi soal jawab dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan bagi menambahkan kefahaman sedia ada secara interaktif dalam talian.
Peserta telah memberi maklumbalas yang sangat baik di atas penganjuran kursus kali ini. Antara kesan-kesan yang dapat diambil daripada kursus ini ialah dapat melahirkan sebuah masyarakat yang aman, ilmu berkaitan pembahagian harta yang betul, melahirkan masyarakat yang menggunakan harta pada perkara-perkara yang diredhai oleh Allah SWT. Semoga kursus ini dapat menambah ilmu pengetahuan kepada peserta supaya sentiasa di amalkan didalam kehidupan seharian.