WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 6 Ogos  -  Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI) telah mengadakan Program Bicara Kewangan Islam: Perlukah Melabur Ketika PKP Semasa Pandemik Covid-19 pada hari Khamis bertarikh 5 Ogos 2021 melalui platform Google Meet. Program ini telah mencapai kehadiran seramai 120 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam (PHEI) dan skim perkhidmatan yang lain dari pelbagai agensi.

Program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan serta meningkatkan pengetahuan kepada peserta mengenai pelaburan dalam perancangan kewangan yang betul dan patuh shari’ah untuk masa depan. Penjelasan mengenai pelaburan dari segi konsep, jenis dan risikonya, beserta analisis-analisis semasa dibahaskan oleh penceramah program yang pakar dan berpengalaman dalam bidang kewangan dan pelaburan, Dr. Ahmad Sufian bin Che Abdullah dari Universiti Malaya.

Sesuai dengan keadaan semasa pandemik Covid-19, Dr. Ahmad Sufian berkongsi dua faktor utama yang perlu diambil perhatian oleh seseorang individu dalam memulakan pelaburan iaitu faktor dalaman yang merangkumi aspek-aspek kemampuan, kelakuan (behavior) terhadap risiko, dan kepakaran; dan faktor luaran iaitu ekonomi semasa. Rumusnya, keperluan pelaburan berbeza mengikut individu dengan memerhatikan peringkat dan jenis pelaburan, serta keperluan dan pengetahuannya mengenai ilmu pelaburan. Selain pengetahuan yang baik mengenai pelaburan, pelaburan patuh syarak juga dititikberatkan oleh penceramah sepanjang perkongsian ilmu menonjolkan kepentingan pelaburan yang betul dan mengikut shari’ah. Semoga program ini berjaya mencapai matlamatnya dalam meningkatkan pengetahuan berkaitan pelaburan serta mendapat pendedahan yang menyeluruh berkenaan pelaburan ketika PKP semasa Pandemik Covid-19.