Bangi, 26 Julai - Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah mengadakan Kursus Bahasa lsyarat Bagi Komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran kepada Pegawai-Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) yang ditempatkan di pelbagai kementerian dan agensi serta penjawat awam pelbagai skim (Gred 19 hingga 48) dalam peringkat negeri dan persekutuan.
Kursus yang diadakan pada 26-27 Julai 2021 (Siri 3) secara dalam talian ini bertujuan untuk Mendedahkan kepada peserta mengenai istilah-istilah Islam ibadah berkaitan Syahadah, Rukun Iman dan Rukun Islam kepada komuniti OKU Pendengaran supaya objektif yang ditetapkan dapat diaplikasikan ketika melaksanakan tugasan di jabatan masing-masing.
Kursus juga dikendalikan oleh Encik Mohamad Zaid bin Hamdan dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Puan Sariah binti Ibrahim selaku penasihat Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA). Mereka berkongsi ilmu dan kepakaran yang mereka ada bagi membantu pegawai-pegawai dalam memahami Bahasa Isyarat ini. Seramai 60 orang peserta menyertai kursus ini menerusi pautan google meet link. Semoga kursus ini berjaya memberi pendedahan dan kemahiran kepada peserta khususnya dalam menggunakan komunikasi isyarat yang tepat dan betul.