WEBINAR PENGURUSAN DIET IDEAL MEMBENTUK IMEJ KORPORAT JAKIM
Bangi, 01 Julai 2021 - Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam (KKKI), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat (UKK) JAKIM telah menganjurkan Webinar Pengurusan Diet Ideal Membentuk Imej Korporat JAKIM secara dalam talian google meet pada 01 Julai 2021.
Objektif webinar ini diadakan bertujuan memberi kefahaman kepada peserta mengenai maksud amalan diet ideal dan pentingnya dalam penjagaan kesihatan sempurna, sebagai panduan kepada para peserta untuk memahami dan mengamalkan diet yang ideal bagi ketrampilan diri dan meningkatkan imej korporat organisasi serta meningkatkan motivasi dan jati diri peserta bagi menghadapi cabaran bekerja di era pandemik COVID-19.
Webinar ini telah disertai seramai 250 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan JAKIM di ibu pejabat dan kader kementerian/agensi melalui platform googlemeet, facebook ILIM dan facebook JAKIM. YBrs. Prof Madya Dr. Zahara binti Abdul Manaf, Pensyarah Program Dietetik dan Felo di Pusat Penyelidikan Penuaan Sihat dan Kesejahteraan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) banyak membuat perkongsian kepakaran, pengalaman dan motivasi kepada peserta bagi menghadapi cabaran dalam isu amalan diet yang ideal khususnya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Semoga webinar yang dianjurkan ini dapat memberi panduan dan manfaat kepada semua peserta agar sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat dalam pemakanan dan aktiviti fizikal demi mengekalkan kesihatan serta imej diri.