Bangi, 30 Jun – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI) telah mengadakan Webinar Kosmetik Halal : Cantik Rohani Dan Cantik Jasmani secara dalam talian kepada pegawai Hal Ehwal Islam dan semua lapisan masyarakat pada 30 Jun 2021. Webinar ini dilaksanakan pada jam 10.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari melalui medium Google Meet dan telah mencapai kehadiran seramai 179 peserta.
Webinar ini diadakan bertujuan untuk memberi pengetahuan dan maklumat berkaitan kosmetik halal dan kepentingannya dalam kehidupan seharian seorang muslim. Kecantikan merupakan lumrah manusia untuk dipelihara sepanjang masa, bahkan terdapat usaha-usaha yang dilakukan untuk memperolehinya.
Terdapat pelbagai inisiatif yang diambil khususnya menerusi kosmetik bagi memastikan keselesaan dan keyakinan dicapai. Namun, persoalan mengenai keselamatan dan kandungan kosmetik sama ada dibenarkan dalam konteks shari’ah atau sebaliknya sering tidak diberi perhatian oleh masyarakat, penjual dan juga pengguna. Justeru, penceramah webinar kali ini, Puan Vivi Saliza binti Sunaini, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Halal Jakim menjelaskan enam perbincangan utama bagi pemahaman dan perhatian mengenai hal ehwal kosmetik halal iaitu pengenalan umum berkenaan kosmetik dan kosmetik halal serta skim kosmetik, keselamatan produk kosmetik, kesedaran berkaitan kosmetik halal, pengiktirafan kosmetik halal, isu-isu lain termasuk isu semasa dalam skim kosmetik, dan akhir sekali berkenaan permohonan pensijilan halal skim kosmetik.
Menerusi arahan dan hukum yang ditetapkan berdasarkan dua sumber utama agama Islam, al-Qur’an dan Hadith, beserta hukum-hukum yang disepakati oleh ulama’, kosmetik halal dapat dikenalpasti sebagai produk kecantikan yang mengandungi bahan-bahan yang dibenarkan oleh hukum syarak dan fatwa. Selain memastikan kandungannya bebas dari unsur haram, kandungan kosmetik yang mengandungi unsur-unsur ramuan yang meragukan juga perlu diteliti. Maka di dalam hal ini, peranan mufti dalam memberikan fatwa, dan peranan badan pensijilan halal dalam memberikan pensijilan halal skim kosmetik sangat penting untuk dijadikan panduan dan rujukan, selari dengan peranan agama Islam yang bersifat memberikan maslahah dan menolak mafsadah.
Semoga webinar ini berjaya mencapai matlamatnya yang bukan sahaja mampu memberikan kefahaman kepada peserta mengenai kepentingan kosmetik halal, bahkan dapat dijadikan panduan dalam memilih dan menjual kosmetik patuh shari’ah.