WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 29 Jun 2021  – Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam, ILIM Kampus Utama Bangi telah menganjurkan Webinar Kesihatan Mental dan Pengurusan Stress secara dalam talian. Webinar ini telah dikendalikan melalui dua platform, iaitu googlemeet dan   FB live ILIM. Program selama 4 jam ini (9.00 pagi-1.00 tengah hari) telah dihadiri oleh seramai 196 orang peserta secara maya terdiri daripada pegawai JAKIM, Jabatan Agama Negeri, dan Agensi-agensi di Bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), petugas barisan hadapan (frontliners), antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk seorang anggota bukan muslim, kakitangan hospital, dan Kementerian Kesihatan Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia, IPTA dan IPTS.  

Objektif utama webinar ini adalah untuk menjelaskan tanda dan gejala kesihatan mental, memahami senario tekanan (stress) dalam organisasi (tempat kerja) dan kehidupan serta kaedah menguruskannya untuk diaplikasi dalam kehidupan.

Penceramah jemputan pada kali ini ialah YBrs. Tuan Hj. Mohd. Noor Ikhram bin Husin, Pegawai Psikologi daripada Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Sesi ceramah diselang-seli dengan soal jawab dan komen balas daripada peserta yang memberi perhatian penuh kepada ceramah yang disampaikan.

Para peserta juga turut diajak berselawat beramai-ramai bersama penceramah ketika pertengahan sesi dan turut berzikir bersama-sama ketika hampir di penghujung program. Kedua-dua metod ini adalah antara kaedah islami untuk mendapat ketenangan jiwa, berserah diri kepada Allah SWT dan memohon kelapangan hati daripada segala bebanan fikiran dan perasaan. Penceramah banyak berkongsi pengalaman sebagai kaunselor berdaftar untuk menjadi iktibar dan pengajaran kepada semua audiens.

Rata-rata peserta telah memberi maklum balas yang sangat positif terhadap program ini dan sangat berterima kasih kepada penceramah dan pihak ILIM atas penganjuran yang dianggap tepat dengan situasi semasa. Mereka bersetuju bahawa isu kesihatan mental adalah isu kritikal yang sedang dihadapi oleh banyak pihak dan segenap lapisan masyarakat akibat pandemik. Oleh itu penganjuran webinar ini sedikit sebanyak memberi sumbangan dalam mencari penyelesaian dalam menguruskan tekanan atau bagaimana untuk menyantuni masyarakat yang terganggu kesihatan mental kerana terkesan dengan pandemik.