WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 22 Jun 2021 (Selasa) - ILIM Kampus Utama Bangi telah menganjurkan Wacana Kepimpinan Islam secara dalam talian dengan topik “Al-Aqsa: Mempersiap Generasi Salahuddin” menerusi platform google meet. Wacana terbuka ini disertai oleh seramai 72 orang penjawat awam daripada pelbagai Jabatan dan Kementerian antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri, Agensi di Bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Pendidikan Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia, Polis DiRaja Malaysia dan lain-lain termasuk masyarakat awam dalam kalangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan ahli kariah masjid-masjid. Objektif utama wacana ini adalah untuk menjelaskan faktor-faktor kejayaan umat Islam melalui pembentukan generasi seumpama Salahuddin al-Ayyubi dan memahami sejarah serta kaitannya dengan pelaksanaan semasa untuk melahirkan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang strategik

Wacana selama 3 jam dengan pengisian ceramah oleh YBrs. Dr. Amran bin Muhammad, Ketua Eksekutif Institut Kajian Islam dan Strategi (ISSI) merangkap Pengarah Kalam Research & Media (KRM) Asia Tenggara yang berpusat di Abu Dhabi, UAE, telah berkongsi mengenai betapa pentingnya pengukuhan aspek keilmuan dan kerohanian bertunjangkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam membina peradaban Islam. Islam bukan semata-mata agama ibadah tetapi agama yang membina peradaban. Menurut beliau, kemenangan umat Islam terdahulu khususnya kejayaan Salahuddin al-Ayyubi yang bermula daripada gerakan keilmuan oleh Imam al-Ghazzali perlu dijadikan panduan sebagai formula untuk umat Islam mencapai kejayaan siyasah, bukan sahaja dalam konteks pembebasan al-Aqsa, tetapi untuk kebangkitan semula kepimpinan Islam membangunkan peradaban Islam seluruh dunia yang pernah gemilang suatu ketika dahulu. Diharapkan formula ini dapat diterjemahkan sebagai realiti pada masa kini melalui usaha-usaha pembinaan generasi Salahuddin yang mampu melahirkan tokoh-tokoh yang mencapai tahap ketaqwaan yang tinggi di segenap bidang strategik termasuk para pemimpin negara, ulama, pemimpin ketenteraan, birokrat, dan para hartawan.

Para peserta telah memberi maklum balas yang sangat positif terhadap program ini dan turut mengambil bahagian berdiskusi dengan penceramah, melontarkan pandangan bernas, berkongsi pengalaman di lapangan masing-masing dan mencadangkan agar ia dapat diteruskan selepas pandemik.