Bangi, 25 Mac 2021 - Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan JAKIM telah mengadakan Bengkel Penyelarasan Glosari Bahasa Isyarat Islam (Ibadah & Akidah) Bagi Komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran secara bersemuka di Dewan Datuk Mohd Shahir (DDMS), ILIM Kampus Utama Bangi.
Bengkel yang diadakan pada 25 Mac 2021 bersamaan 11 Sya’ban 1442, antara lain bertujuan membuat semakan glosari dan penerangan bahasa isyarat Islam bagi istilah ibadah dan akidah. Bengkel ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Siraj bin Suhaimee, Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan JAKIM dan dikendalikan oleh YBrs. Dr. Abdul Ghaffar bin Surip, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan JAKIM. Seramai 36 orang peserta telah menghadiri bengkel ini yang terdiri dari barisan Panel Pakar Akidah JAKIM dan Panel Pakar Syariah JAKIM, barisan Panel Pakar Bidang, barisan Panel Pakar Kementerian Pendidikan Malaysia, Panel Pakar Orang Kurang Upaya (OKU), barisan Penyelidik USIM, pegawai-pegawai ILIM dan Bahagian Penyelidikan JAKIM.
Bengkel berakhir pada pukul 4.30 petang dan rumusannya, panel telah dapat menyelaras istilah-istilah dalam bahasa isyarat Islam ibadah dan akidah secara musyawarah supaya tidak berlaku pertindihan antara istilah ibadah dan akidah.