Bangi, 23 Februari - Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi telah mengadakan Bengkel Pembinaan Glosari Bahasa Isyarat Islam (Akidah) bagi Komuniti OKU Pendengaran secara dalam talian pada 23 Februari 2021.
Sebanyak 130 istilah akidah telah dibincangkan huraian istilahnya berdasarkan kitab-kitab Akidah yang muktabar. Bengkel ini diadakan bertujuan untuk menyelaras glosari Bahasa Isyarat Islam (Akidah) OKU Pendengaran bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham sebelum boleh diguna pakai oleh masyarakat umum dan komuniti OKU Pendengaran khususnya.
Bengkel ini dikendalikan oleh ILIM selaku urus setia bersama seorang Panel Pakar Akidah JAKIM, iaitu Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi bin Wan Abdullah (UTM), dua (2) orang Panel Pakar Bidang iaitu Dr. Wan Mohd Fazrul Azdi bin Wan Razali, Dr. Mohd Hamidi bin Ismail (USIM), 13 orang panel pakar penyelidik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selaku pembina Bahasa Isyarat Islam ini secara bersama dengan Komuniti OKU Pendengaran Negeri Sembilan (NESDA), wakil dari Bahagian JAKIM iaitu, Bahagian Dasar, Dakwah, Pendidikan, Penyelidikan dan Penerbitan juga Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) OKU Pekak berkaitan iaitu Persatuan Komuniti Pekak Kawasan Seputeh Kuala Lumpur (PKOPKS KL).
Bengkel ini merupakan bengkel kali keempat dan juga merupakan yang terakhir bagi Glosari Bahasa Isyarat Islam (Akidah) OKU Pendengaran sebelum dinilai dan diluluskan oleh Mesyuarat Panel Pakar Akidah JAKIM. Harapan semua agar Glosari Bahasa Isyarat Islam (Akidah) ini dapat meleraikan ketidakfahaman dan kekeliruan OKU Pendengaran terhadap istilah-istilah dalam konteks akidah dan dapat meneguhkan lagi keimanan golongan terbabit. Insyaallah.